KPKT peruntuk RM187.45 juta laksana projek pembangunan di Terengganu - Utusan Malaysia

KPKT peruntuk RM187.45 juta laksana projek pembangunan di Terengganu

NGA Kor Ming (dua, kiri) meninjau pekarangan Pasar Payang 1 selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang 1 dan Majlis Kick-Off Program Bandar Selamat Tahun 2024 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM187.45 juta melibatkan projek-projek pembangunan di seluruh negeri ini pada tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, jumlah peruntukan tersebut meningkat 23.74 peratus berbanding tahun lalu sebanyak RM151.49 juta.

“Peningkatan (peruntukan) ini jelas membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam membangunkan negeri Terengganu melalui peruntukan-peruntukan pembangunan yang diluluskan meliputi pelbagai agensi di bawah KPKT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang 1 dan Majlis Kick-Off Program Bandar Selamat Tahun 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Projek pembangunan semula Pasar Payang di atas tapak sedia ada melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM70.03 juta.

Kerja-kerja pembinaan semula Pasar Payang itu melibatkan pembinaan bangunan dua tingkat dengan menempatkan 412 lot kedai, 369 petak jualan, tempat letak kenderaan, lampu jalan, landskap dan menara jam.

Kor Ming memberitahu, peruntukan yang diluluskan pada 2023 itu melibatkan semua tujuh pihak berkuasa tempatan di negeri bagi melaksanakan 236 projek meliputi projek infrastruktur, kemudahan awam, sosio-ekonomi dan keselamatan.

Jelasnya, antara projek yang dilaksanakan itu adalah 278 projek kecil dengan peruntukan sebanyak RM28.48 juta, enam projek penyelenggara kolam takungan banjir (RM1.92 juta), 31 projek inisiatif perparitan dan longkang (RM2.80 juta) serta 196 unik Mykiosk Niaga (RM2.94 juta).

“Selain peruntukan pembangunan, KPKT juga telah memberi bantuan sebanyak RM37.6 juta melalui bajet mengurus kepada tujuh PBT di Terengganu.

“Saya berharap agar peruntukan ini dapat membantu dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan PBT di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN