Peningkatan SST beri bebanan tambahan kepada rakyat - Utusan Malaysia

Peningkatan SST beri bebanan tambahan kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengurangan subsidi dan peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus akan memberi bebanan tambahan kepada rakyat.

Biarpun peningkatan SST itu tidak membabitkan sektor makanan dan minuman tapi, perkhidmatan lain termasuk kesihatan pasti akan menunjukkan peningkatan dari segi kos.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. James Alin berkata, pengurangan subsidi itu memang tindakan yang baik dalam mengurangkan bebanan hutang kerajaan tapi, apabila kadar SST itu dinaikkan, ia menjadi bebanan kepada rakyat.

JAMES ALIN

Walaupun sektor makanan tidak terjejas tapi, kos perkhidmatan dalam sektor-sektor lain pasti akan meningkat. Perkhidmatan biasanya berkait langsung dengan pengguna.

Beliau berkata, biarpun kerajaan cuba mengelak ketirisan dengan mengurangkan subsidi namun, pengenalan cukai baharu akan membantu meningkatkan kembali pendapatan kerajaan.

“Apa yang lebih mengecewakan dalam belanjawan yang dibentangkan itu, kita tidak melihat perancangan untuk membantu Sabah menarik pelabur asing.

“Kita bersaing dengan negeri-negeri lain dalam membawa masuk pelabur tapi, pelabur hanya tertumpu di Semenanjung Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, peruntukan pembangunan RM6.6 bilion kepada Sabah itu bukanlah satu jumlah yang besar kerana hasil yang diperoleh daripada negeri ini cukup tinggi.

Malah, peruntukan tersebut bukannya disalur secara terus kepada negeri sebaliknya, ia akan diagihkan kepada agensi-agensi Persekutuan yang terlibat dalam melaksana projek pembangunan di Sabah.

Kini, sudah tiba masa Tabung Amanah diwujudkan dalam memastikan lebihan peruntukan yang tidak dibelanjakan dimasukkan ke dalam tabung tersebut bagi kegunaan projek-projek pembangunan di Sabah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN