Peningkatan anak muda keluar mengundi positif - Amizar

Peningkatan anak muda keluar mengundi positif – Amizar

AMIZAR Abu Adam ketika di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chemomoi bagi meninjau proses PRK DUN Pelangai, Bentong, Pahang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Peningkatan jumlah pengundi saluran empat dan lima dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai memperlihat kesedaran golongan muda terhadap amalan demokrasi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam berkata, beliau mendapati peratusan keluar mengundi pada sebelah pagi memberangsangkan termasuk dalam kalangan orang muda.

“Perkara ini satu petanda positif bukan sahaja kepada pengundi sendiri tetapi juga kerajaan kerana wakil rakyat mendapat mandat amat menyakinkan dalam kalangan rakyat.

“Ini juga menunjukkan mereka sedar terhadap kewajipan mengundi demi masa depan Pelangai dan negara,” katanya ketika ditemui di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chemomoi  di sini hari ini.

Terdahulu, Amizar mengambil peluang menemani adiknya untuk keluar mengundi bagi meninjau proses PRK di lokasi tersebut.

Amizar dan seorang lagi calon Bebas tidak mengundi kerana mereka bukan pemilih yang berdaftar di kawasan Pelangai.

Dalam pada itu, calon PN, Kasim Samat, beliau yakin 100 peratus dengan sokongan pengundi meskipun kempen dijalankan dengan skala kecil.

Katanya, para pengundi bukan sahaja memberikan sokongan padu, malah menyambutnya dengan sikap positif.

Beliau dalam pada itu, menasihatkan para pengundi untuk keluar mengundi lebih awal memandangkan cuaca diramalkan hujan pada petang ini.

Sebanyak sembilan pusat mengundi dan 30 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundianbermula pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sehingga 75 peratus ke atas berbanding 78 peratus sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan rasmi PRK Pelangai dijangka diumumkan seawal pukul 9 malam setelah pengiraan dibuat membabitkan sembilan pusat pengundi dan 30 saluran. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN