Penduduk terjejas tiada air bersih, jambatan runtuh

Penduduk terjejas tiada air bersih, jambatan runtuh

MOHD. Zukri Ariffin menunjukkan lokasi jambatan besi yang runtuh akibat banjir di Kampung Lubuk Tualang, Sik. – UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Lebih 200 buah rumah di Kampung Lubuk Tualang, Kampung Belimbing dan Kampung Charuk Puyuh, di sini terjejas selepas paip bekalan air bersih rosak dan jambatan roboh dalam banjir, baru-baru ini.

Dua buah jambatan yang digunakan penduduk untuk menyeberangi sungai dari rumah mereka ke kebun turut roboh dirempuh arus deras dan kayu-kayu balak yang hanyut.

Keadaan itu menyebabkan aktiviti harian mereka tergendala kerana hanya bergantung kepada bekalan air daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dalam tekanan rendah.

Penduduk, Mohd. Nor Izzuan Baharom, 35, yang mengusahakan bengkel kereta di Kampung Lubuk Tualang berkata, ibu ba­panya kini tinggal di rumah­nya di Baling ekoran ketiadaan bekalan air bersih untuk mandi dan memasak.

“Bekalan air SADA biasanya akan ada pada waktu malam sahaja, tapi ada kalanya air tidak sampai ke rumah dan bekalan air yang terputus mungkin ambil masa beberapa hari untuk dibaiki semula secara bergotong-royong oleh penduduk.

“Oleh itu saya tidak ada pilihan melainkan bawa ibu bapa ke rumah saya sementara me­nunggu bekalan air pulih. Kalau mereka hendak tinggal di sini, susah juga air untuk memasak, mandi, cuci pakaian dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk Kampung Belim­bing, Sharizal Bakar, 53, berkata, penduduk kampung kini gigih bergotong-royong untuk membaik pulih bekalan paip air masyarakat di kawasan tadahan selain perlu memasang semula paip yang hanyut dibawa arus.

“Proses ini akan mengambil masa beberapa hari sebelum ia pulih sepenuhnya kerana tandak (kawasan tadahan) dan paip dipenuhi pasir serta batu selain terputus dan rosak akibat arus deras banjir,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zukri Ariffin, 60, berkata, ketiadaan jambatan besi sepanjang 50 meter itu menyebabkan puluhan penduduk kampung tidak dapat pergi menoreh getah dan bercucuk tanam di kebun mereka memandangkan jalan alternatif terlalu jauh.

“Ketika kejadian hujan lebat, saya melihat sendiri bagaimana jambatan itu runtuh dirempuh arus deras selain beberapa batang kayu balak yang dijadikan jambatan di bahagian hulu sungai pula menghentam jambatan besi ini.

“Jambatan di hulu sebelum ini dibina oleh pihak pembalak, sekarang jambatan ini pun sudah hanyut, beberapa batang paip air masyarakat yang diikat pada jambatan juga jatuh ke dasar sungai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN