GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli yang menetap di kawasan pedalaman di sini turut berdepan masalah harga beras yang dijual pada harga tinggi di perkampungan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mendedahkan, beliau banyak menerima rungutan berkait masalah tersebut termasuk barangan bersubsidi seperti gula dan minyak masak yang didakwa dijual melebihi harga kawalan di kawasan terbabit.
“Beberapa pengguna yang sempat ditemui mengatakan mereka menggunakan sekurang-kurangnya dua kampit beras 10 kilogram sebulan. Dalam tempoh sebulan mereka terbeban dengan kenaikan sebanyak RM20 hingga RM30 untuk beras sahaja.
“Namun beberapa inisiatif telah dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) antaranya melaksanakan Jualan Rahmah.
“Pihak Kerajaan menanggung sebahagian daripada kos subsidi yang diberikan dan rata-rata pihak pengguna memohon supaya Jualan Rahmah ini dapat diadakan secara kerap,” katanya selepas meninjau keperluan asas seperti beras dan gula bersama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Gua Musang, Mohd. Koma Shapii di sebuah pasar raya di sini.
Mohd. Syahbuddin turut menasihatkan peruncit supaya mendapatkan lesen gula, minyak dan tepung bagi membolehkan peruncit membeli barangan keperluan asas itu dengan harga borong.
Katanya, dia turut menerima aduan Orang Asli, harga gula dan beras mahal di kawasan mereka. – UTUSAN










