BINTULU: Penduduk di Jepak mahu kemudahan stesen minyak bagi menampung permintaan terhadap bahan api itu terutamanya dalam kalangan pengguna yang berulang-alik dari Mukah ke Sibu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd Haziq Mirza Othman, 29, berkata, kemudahan infrastruktur seperti itu mampu mengurangkan masa perjalanan pengguna disebabkan stesen minyak yang ada sejauh 15 kilometer (km).
“Antara salah satu masalah yang boleh ditangani pada masa terdekat adalah kemudahan infrastruktur dengan pembinaan stesen minyak yang baharu seperti Petros. Ini yang amat diperlukan dan penting buat penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

“Sedia maklum kawasan ini sudah menjadi kawasan pertengahan dari penduduk yang datang dari kawasan Mukah dan penduduk dari Bintulu yang hendak ke Sibu. Justeru, masalah pada masa sekarang adalah stesen minyak yang terlalu jauh, namun harus diihat pada masa hadapan pembangunan yang semakin pesat,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, sebuah pusat penjaja bersasar juga penting bagi kemudahan penduduk untuk berniaga hasil tani dan hasil laut, selain dapat membantu memasarkan bahan jualan penduduk sekitar.
“Selain itu, masalah sosial yang terdapat di kawasan ini seperti isu gelandangan dan penggunaan dadah, perlu ditangani pada peringkat awal demi kesejahteraan belia dan masyarakat di sekitar kawasan ini.
“Sebagai belia di Jepak ini, saya mahu melihat pembangunan ini diselaraskan dengan lebih rancak lagi, namun masalah sosial perlu ditangani terlebih dahulu agar rancangan pembangunan serta kebajikan penduduk dapat berjalan lancar,” jelasnya.
Peka terhadap pembangunan DUN Jepak, Firdaus tidak menafikan pembangunan ekonomi di DUN Jepak juga tidak seimbang akibat daya tarikan ekonomi kebanyakan lebih difokuskan ke luar kawasan tersebut, berbanding sebaliknya.
“Aliran ekonomi yang sepatutnya bertumpu kepada pembangunan ekonomi tempatan perlu diterapkan di mana kebanyakkan kemajuan-kemajuan diletakkan di luar kawasan Jepak.
“Penglibatan peniaga-peniaga yang berwibawa di dalam DUN Jepak juga memainkan peranan kerana percambahan ekonomi bermula daripada kelolaan dan mengangkat peniaga muda yang menyumbang kepada kawasan ini (DUN Jepak) sendiri.
“Maka itu, penglibatan sosial, politik dan ekonomi perlu diteliti agar ia berjalan secara sealiran dan bukannya bersifat tersendiri seperti mana acuan yang telah diterapkan dalam kalangan penduduk-penduduk Dun Jepak pada waktu kini,” tegasnya.
Selain daripada itu, penduduk sekitar juga menghadapi masalah dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, kekhuatiran kuasa beli golongan B40 yang berada di bawah tangga minima memberi tekanan sehingga menyebabkan terdedahnya mereka kepada salah urus kewangan.
“Keberhutangan melampau dan terjerumus dalam penyalahgunaan dadah juga akan menjadi cabaran kepada wakil rakyat Jepak di masa akan datang.
“Dengan kegagalan untuk kesemua penduduk DUN Jepak dalam bersatu padu, sifat toleransi yang tinggi, kebersamaan dalam menjayakan satu usaha dan mendukung prinsip pembangunan sosial serta ekonomi juga akan meletakkan Dun Jepak masih berada di tampuk yang lama.
“Setinggi-tinggi harapan diletakkan pada wakil rakyat Jepak untuk merencanakan satu visi, misi dan objektif yang boleh menjana satu ekosistem ekonomi yang bebas rasuah, menjalankan perniagaan haram, penyalahgunaan kuasa dan penindasan golongan muda sekaligus melancarkan pentadbiran kerajaan di peringkat akar umbi,” katanya lagi.-UTUSAN










