Pencemaran sejak 10 tahun lalu berulan

Pencemaran sejak 10 tahun lalu berulang

KEADAAN air Sungai Air Kuning yang berwarna hitam dipercayai berpunca hasil buangan kilang di Air Kuning, Tampin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Penduduk terutamanya petani dan penternak di sekitar Air Kuning di sini kesal apabila masalah pencemaran Sungai Air Kuning yang menjadi hitam masih berlaku sejak 10 tahun lalu.

Seorang penduduk, Mohamad Azizi Mohamad Zin, 46, dari Felda Bukit Jalor berkata, masalah berkenaan terjadi sekali lagi apabila menyedari air sungai tersebut bertukar menjadi hitam sebaik sahaja melalui kawasan tersebut kira-kira 8.30 pagi untuk pergi ke kebun sawit.

Menurutnya, dia telah me­ngambil sampel air untuk dija­dikan bukti memandangkan kebiasaannya sisa tersebut akan mengalir ke kawasan yang lebih jauh ke dalam kebun.

“Kali terakhir berlaku tiga bulan lalu namun, kejadian ini bukanlah kejadian kali pertama. Sejak lebih 10 tahun lalu, inilah kejadian yang berulang kali berlaku.

“Apabila pencemaran ini berlaku, kami bimbang pokok sawit akan terencat pertumbuhannya dan menjadi rosak. Lagipun sungai ini tempat penduduk mencari ikan dan menjadi sumber pendapatan sampingan.

“Apabila tercemar, banyak ikan yang mati, saya harap agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil serius masalah yang sudah lama berlaku ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ramli Mohamed, 50, berkata, masalah itu pernah berbangkit sebelum ini, dan sepatutnya pihak berkuasa menyiasat punca pencemaran termasuk memeriksa kaedah pembuangan sisa pengeluaran daripada kilang di kawasan berdekatan.

“Kami minta kalau pihak berwajib datang, datang la awal pagi sebab kalau tengah hari, air hitam sudah mengalir ke kawasan sungai yang lebih dalam. Kami harap agar masalah ini selesai sebab saya juga sudah tiga kali melihat ba­nyak ikan mati di sungai dalam kebun,” katanya yang memberitahu air sungai itu berbau busuk serta turut bercampur minyak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, beliau sudah membangkitkan masalah berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan berharap agar jabatan berkenaan dapat menyiasat kes tersebut terutamanya kesan kepada masyarakat setempat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN