Pemuda mangsa buli hilang pendengaran dapat ganti rugi

Pemuda mangsa buli hingga hilang pendengaran dapat ganti rugi lebih RM600,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memerintahkan lima bekas pelajar tingkatan lima dan empat pihak lain membayar ganti rugi lebih RM600,000 kepada seorang mangsa buli berusia 22 tahun yang hilang pendengaran, sejak lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim berpuas hati bahawa sembilan pihak berkenaan bertanggungjawab dan cuai ke atas mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan akhir pemuda tersebut.

Sembilan pihak terlibat ialah lima bekas pelajar tingkatan lima sebagai defendan pertama hingga kelima (kini berumur 25 tahun), penolong kanan hal ehwal murid (PKHEM) (keenam), pengetua (ketujuh), Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (kelapan) dan Kerajaan Malaysia (kesembilan).

Kejadian pukul, buli dan serangan itu berlaku di bilik ketua pengawas sebuah sekolah menengah sains di Terengganu, pada 26 April 2015 lalu.

Mahkamah memutuskan, Ketua Pengarah KPM dan kerajaan bertanggung jawab secara vikarius akibat kecuaian warden, PKHEM dan pengetua.

Ketika kejadian, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua menfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu melalui bapanya, terhadap sembilan defendan.

Berdasarkan tuntutan, mangsa mendakwa telah dipukul, dibuli dan diserang oleh lima pelajar senior, sehingga mengakibatkan gegendang telinga kanannya pecah, mengalami kecacatan kekal dan hilang pendengaran.

Plaintif juga mengalami trauma teruk dan tekanan perasaan sehingga memaksanya menjalani rawatan psikiatri.

Panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 29 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mendapati semua defendan bertanggungjawab atas kecederaan itu dan membenarkan semua tuntutan ganti rugi termasuk ganti rugi am atas kecederaan, khas dan teladan.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2021, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan keseluruhan keputusan itu dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima defendan itu telah memukul, membuli dan menyerangnya.

Mahkamah Rayuan itu juga menetapkan bahawa defendan keenam dan ketujuh termasuk warden dan pengetua tidak cuai dalam menjalankan tugas terhadap pelajar.

Susulan itu, defendan kelapan dan kesembilan tidak dipertanggung jawabkan atas tuntutan plaintif.

Dalam kes ini, plaintif diwakili peguam Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof.

Sementara itu, Wan Azliana yang juga Ketua Gerakan Anti Buli berkata, kes tersebut merupakan kemenangan untuk anak guamnya termasuk semua mangsa kejadian buli di negara ini.

“Saya berharap keputusan kes ini dapat dijadikan pengajaran bagi kes-kes buli yang lain.” katanya kepada wakil media, semalam.

Pada 29 September 2021, media melaporkan sembilan pihak termasuk lima pembuli, PKHEM dan bekas pengetua sebuah sekolah menengah sains diarah membayar tuntutan sebanyak RM616,634.20 kepada mangsa.

Kesemua sembilan individu itu didapati bersalah menyebabkan kecederaan, tekanan perasaan secara berterusan dan juga pembelajaran terjejas kepada remaja terbabit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×