Pemerkasaan kesejahteraan, kebajikan ATM jadi agenda utama - Utusan Malaysia

Pemerkasaan kesejahteraan, kebajikan ATM jadi agenda utama

THEVENDRAN CS MANIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suntikan moral menjadi kunci kekuatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahan tanah air daripada segala ancaman musuh selain kecanggihan aset dan strategi ampuh.

Antara perkara saling berkait rapat dengan kekuatan moral termasuk pembangunan kesejahteraan dan kebajikan anggota yang meliputi perkara asas seperti perumahan dan pelbagai kemudahan yang lain.

Justeru dengan peruntukan sebanyak RM19.7 billion dalam pembentangan Belanjawan 2024 secara tidak langsung membuktikan kerajaan serius memastikan kebajikan anggota ATM terus kekal terpelihara, sekali gus dapat fokus terhadap tanggungjawab pada agama, bangsa dan negara.

Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP), Brigedier Jeneral Ir. Thevendran Cs Maniam berkata, melalui peruntukan tersebut, ia dapat menambah baik tahap keselesaan warga ATM dan keluarga yang mendiami Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara.

“Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM400 juta dijangka diperuntukkan untuk menaik taraf RKAT dan kemudahan asas lain berbanding peruntukan tahun lepas iaitu RM200 juta.

“Ia amat penting dalam memastikan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan keseluruhan RKAT dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Dalam pada itu Thevendran berkata, berdasarkan peruntukan yang diperoleh tahun lalu, sebanyak 250 projek membabitkan kebajikan Tentera Darat telah dilaksanakan di seluruh Semenanjung.

“Pengagihan dan cara kita menyalurkan peruntukan ke setiap divisyen Tentera Darat adalah mengikut kesaksamaan, telus dan projek yang menjadi keutamaan.

“Kemudahan dan penyelenggaraan akan dikenal pasti panglima-panglima dan komander yang mengetahui keperluan warga di setiap lokasi. Maklumat ini kemudian akan disalurkan balik kepada kami melalui markas dan kita akan buat perancangan dengan memberi keutamaan serta fokus kepada kawasan yang sangat memerlukan,” jelasnya.

Katanya, peruntukan juga diberikan bergantung kepada lokasi, jumlah anggota dan kem serta keadaan keperluan itu.

NURUL HUDA ZAKARIA

Sementara itu Pegawai Waren I Nurul Huda Zakaria, 39, berkata, kemudahan serba lengkap RKAT dapat memastikan setiap anggota tentera kekal fokus terhadap kerjaya dan tanggungjawab mereka.

“Kami tidak perlu memikirkan tentang hal membabitkan penyelenggaraan rumah ketika bertugas.

“Malah, apa yang saya boleh katakan segala-galanya lengkap untuk anggota tentera sejak dari hari pertama bergelar tentera sehinggalah pencen nanti,” jelasnya.

MUHAMMAD IQBAL FITRI ZAMBRI

Sarjan Muhammad Iqbal Fitri Zambri, 32, menyifatkan kemudahan infrastruktur di RKAT membantu mewujudkan komuniti tentera yang sejahtera dengan pelbagai kemudahan lengkap.

“Mudah untuk kami untuk membahagikan tanggungjawab kepada negara dan juga sebagai ketua keluarga apabila memperkatakan tentang kebajikan anggota tentera,” jelasnya.

FASEHAH SULAIMAN

Bagi Koperal Fasehah Sulaiman, 31, peruntukan tersebut sekali gus dapat membantu anggota tentera terutama yang tinggal di bandar besar meringankan kos sara hidup.

“Apabila anggota tinggal di RKAT, segala-galanya diuruskan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.

“Ini sekali gus membantu anggota tentera dari segi kos perbelanjaan harian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN