KLUANG : Seorang pemandu yang belum dikenal pasti identitinya ditemui maut terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 49.5 Jalan Batu Pahat Mersing berhampiran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dekat sini awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.43 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu mangsa serta van jenis Hyundai Starex yang dinaiki empat orang penumpang dan seorang pemandu berusia 55 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios datang dari arah Kluang menuju ke Batu Pahat manakala Van Hyundai Starex dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Van Hyundai Starex seterusnya terbabas ke sebatang pokok dibahu jalan dan terbakar.
“Akibat daripada itu, pemandu kereta Toyota Vios telah rentung dan meninggal dunia di lokasi kejadian menyebabkan tidak dapat dipastikan identitinya,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Nik Mohd Azmi lagi, tiga penumpang Van Hyundai Starex yang juga warganegara Singapura, Lee Zi Sun, 50, Chong Siew Fah, 47, dan Lee Chen Hao, 11, mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Ujarnya, pemandu dan penumpang hadapan van Hyundai Starex yang beralamat di Kluang mengalami kecederaan ringan.
“Mayat mangsa dirujuk ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu,Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran memusnahkan
lebih kurang 80 peratus keseluruhan kereta, terdapat seorang mangsa tersepit di ruangan pemandu kenderaan yang terbakar.
“Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit namun disahkan
sudah meninggal dunia,” katanya.
Katanya lagi, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran dserta anggaran kerugian masih dalam siasatan. –UTUSAN










