Pemandu kereta wira sebabkan kemalangan 3 maut sudah ditahan

Pemandu kereta Wira sebabkan kemalangan tiga maut sudah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Polis mengesahkan pemandu Proton Wira yang terbabit dalam nahas sehingga menyebabkan kematian tiga individu di Kilometer 38, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, berdekatan Serendah Golf Resort di sini semalam, sudah ditahan polis.

Penahanan lelaki berusia 61 tahun itu dilakukan pukul 11.30 malam hari yang sama di sekitar kawasan Ulu Yam Bharu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, hasil semakan polis mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.

Kata beliau, lelaki itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan susulan kemalangan terbabit.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang cedera pada mata masih berada di Hospital Selayang.

Kata beliau, mangsa dilaporkan masih menerima rawatan dan keadaannya stabil.

“Hubungan kesemua mangsa dalam nahas itu adalah pasangan suami isteri,” jelasnya.

Semalam, media melaporkan tiga maut manakala seorang parah dalam kemalangan dua kenderaan iaitu kereta Perodua Axia dan Toyota Avanza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN