Pemandu Honda CRV ditahan pandu secara berbahaya di lebuh raya - Utusan Malaysia

Pemandu Honda CRV ditahan pandu secara berbahaya di lebuh raya

TANGKAP layar video tular sebuah kereta jenis Honda CRV yang dipandu secara melulu dan berbahaya di Kilometer 318, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Tapah. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang pemandu kereta jenis Honda CRV ditahan polis selepas didapati memandu secara melulu dan berbahaya di Kilometer 318, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.

Rakaman video berdurasi dua minit itu tular selepas dimuat naik di platform media sosial X.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd. Naim Asnawi berkata, siasatan mendapati kejadian itu dipercayai berlaku kelmarin pada pukul 1.30 tengah hari.

Katanya, laporan polis berkaitan kejadian berkenaan telah dibuat mangsa iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun pada pukul 4.51 petang hari yang sama.

“Berikutan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Tapah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek yang memandu kenderaan jenis Honda CRV berusia 37 tahun telah ditahan di hadapan pejabat BSPT Daerah Tapah pada pukul 8 malam ketika hadir bagi membantu siasatan,” katanya di sini.

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Inspektor P. Prathiparaj di talian 014-6178095.

“Pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu kenderaan supaya tidak membahayakan diri sendiri dan pengguna jalanraya lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN