Pelawak veteran era 80-an terlantar sakit

Pelawak veteran era 80-an terlantar sakit

ISMAIL Mohd. Said menunjukkan gambar lama beliau bersama Allahyarham Datuk Rafeah Buang semasa bersama-sama dalam dunia hiburan pada 1980-an. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pelawak era 1980-an, Ismail Mohd. Said, 79, atau lebih dikenali Ismail Karipap kini terlantar di rumahnya, di sini kerana sakit tua dan tidak mampu berjalan selepas patah paha akibat terjatuh di bilik air rumahnya tiga bulan lalu.

Ismail yang merupakan Juara Bakat TV 1981 turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, dikenali ramai melalui stesen radio di Perak yang muncul berpasangan dengan pelawak, Allahyarham Maidin sekitar 1980-an.

Katanya, dia terjatuh di bilik air rumahnya menyebabkan pahanya patah dan kini dijaga anak-anaknya di rumahnya di Kampung Masjid Baru Sungai Tunku, Sungai Manik.

“Akibat terjatuh, bahagian bawah paha kiri saya patah dan dimasukkan besi selepas pembedahan di Hospital Teluk Intan dan dirawat selama 12 hari.

“Doktor menasihatkan saya jangan bergerak, kini saya hanya terlantar di atas katil. Sekarang saya dijaga anak-anak, isteri pula tak berapa sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ismail menyatakan rasa rindu kepada rakan artis yang seangkatan dengannya seperti Zaiton Sameon, Wann, Datuk Jamal Abdillah, AR Badul dan ramai lagi.

“Apakah mereka masih ingatkan saya Ismail pelawak RTM era 1980-an? Saya juga boleh bermain alat muzik seperti dram dan menyanyi, malah pernah mengadakan persembahan dengan artis terkenal Ayati Tasrib, Rohana Jalil dan Ramlah Ram.

“Saya rindukan kawan-kawan artis termasuk Datuk M. Daud Kilau, saya dapat tahu dia pun sakit,” katanya.

Mengenai gelaran Ismail Karipap, dia memberitahu ramai yang tertanya-tanya kenapa peminat memanggilnya dengan nama itu.

“Sebelum ini, orang panggil saya Ismail Dodol sebab isteri saya kacau dodol dan menjualnya di merata tempat di Teluk Intan.

“Tidak lama kemudian kami tukar jual karipap dan sejak itu ramai yang memanggil saya Ismail Karipap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×