Pelajar kurang berkemampuan bakal manfaat Dana Pendidikan

Pelajar kurang berkemampuan bakal manfaat Dana Pendidikan Perpaduan Sarawak mulai tahun depan

(Dari Kanan) Pengerusi DPPS, Datuk Richard Lee; Penasihat DPPS Tan Sri Abdul Aziz Datuk Husain; dan Jawatankuasa Pemilih DPPS Datuk Gerawat Gala, bercakap dalam sidang selepas mesyuarat pertama DPPS di Kelab Sarawak, Jalan Taman Budaya di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Golongan kurang berkemampuan yang berhasrat untuk menyambung pendidikan tinggi akan diberikan bantuan khas melalui inisiatif Dana Pendidikan Perpaduan Sarawak (DPPS).

Pengerusi DPPS, Datuk Richard Lee berkata, objektif penubuhan dana tersebut akan membantu memberi biasiswa kepada pelajar negeri ini yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam negara.

“Bantuan kewangan itu akan diberikan kepada anak Sarawak yang memerlukan serta berbakat selain membentuk mereka menjadi pemimpin negeri pada masa akan datang.

“Sempena 60 tahun Sarawak bersama membentuk Malaysia dan menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, adalah tepat pada masanya untuk sektor swasta untuk melaksanakan program untuk menyokong pembangunan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat pertama DPPS di Kelab Sarawak, Jalan Taman Budaya di sini hari ini.

Dedahnya, inisiatif tersebut yang merupakan kerjasama dengan sektor swasta turut disambut baik oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau bersetuju menjadi penaung kepada dana pendidikan tersebut.

Oleh itu, katanya, penubuhan dana DPPS secara langsung ke arah usaha membangunkan rakyat Sarawak untuk pendidikan dan menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pemberian biasiswa pendidikan itu tidak dihadkan kepada mana-mana pelajar yang memerlukan serta layak dan berbakat, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Objektif dana itu bertujuan untuk membentuk modal insan yang suatu hari nanti akan berkhidmat untuk Sarawak pada masa akan datang. Kita tidak membezakan pelajar kerana latar belakang dan etnik yang berlainan, justeru ia terbuka kepada semua orang yang layak.

“Ia (dana) untuk pelajar yang menuntut di institusi pendidikan awam dan swasta dalam Malaysia. Satu jawatan kuasa pemilih akan dibentuk bagi menentukan kriteria untuk pemberian biasiswa tersebut,” tegasnya.

Dalam pada itu, Penasihat DPPS, Tan Sri Abdul Aziz Datuk Husain yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) memberitahu, setakat ini, dana pendidikan tersebut meraih RM1.6 juta dan mensasarkan RM2 juta sebelum dilancarkan pada tahun hadapan.

“Dana tersebut disumbangkan oleh para usahawan di seluruh negara dan diharapkan dapat terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak untuk meraih dana tahunan bagi tujuan pendidikan khusus buat pelajar di negeri ini.

“Sehubungan itu, kita akan memastikan dana pendidikan ini dilaksanakan secara berterusan, mapan dan memberi manfaat kepada negeri pada masa akan datang,” tambahnya.

Dalam jawatan kuasa organisasi DPPS, Datuk Richard Lee dilantik selaku Pengerusi; Setiausaha, Datuk Wee Yaw Hin; Jawatankuasa Pemilih DPPS, Datuk Gerawat Gala dan Ketua Seketariat DPPS, Grover Peter Gani.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN