Pekerja kilang mengaku tak bersalah miliki bahan letupan, pistol tiruan - Utusan Malaysia

Pekerja kilang mengaku tak bersalah miliki bahan letupan, pistol tiruan

SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki bahan letupan dan pistol tiruan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki bahan letupan dan pistol tiruan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Bonny Tigong, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang berasal dari Sarawak didakwa memiliki sejenis bahan letupan iaitu ‘improvised explosive device’ atau IED tanpa kebenaran yang sah.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mempunyai sepucuk pistol tiruan atau pistol ‘grib’ jenis kayu juga tanpa kebenaran yang sah.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di lokasi yang sama iaitu di bawah flat Taman Pandan, Mak Mandin dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada 8 Oktober lalu iaitu antara pukul 6.30 petang hingga 7.35 malam.

Bagi kesalahan pertama, dia boleh didakwa dan dihukum di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh atau atau dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua pula, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Majistret Siti Zulaikha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua masing-masing dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 16 November depan sementara menunggu proses penyerahan dokumen.

Terdahulu, tertuduh turut dibicarakan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa memiliki satu senjata berjadual iaitu sebilah kerambit beserta sarung berwarna hitam/perak berukuran 19 sentimeter (cm) tanpa tujuan yang sah.

Kesalahan itu juga didakwa dilakukannya di bawah flat Taman Pandan, Mak Mandin dalam daerah SPU pada 8 Oktober lalu kira-kira pukul 6.30 petang.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7 (1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7 (1) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan.

Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 16 November depan.

Lelaki itu sebelum ini ditahan polis selepas disyaki meletupkan bom buatan sendiri di koridor hadapan rumah jiran mereka di pangsapuri berkenaan.

Menurut polis, motif kejadian dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap jirannya yang didakwa selalu batuk setiap kali melalui kaki lima untuk ke rumahnya.

Difahamkan, suspek yang sebelum itu ditahan bersama teman wanitanya yang juga seorang warga asing mengakui mempelajari cara dan teknik membuat bom melalui laman web manakala bahan yang digunakan diperolehi menerusi pembelian dalam talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya