PD perlu ada daya tarikan baharu - Utusan Malaysia

PD perlu ada daya tarikan baharu

KAWASAN pantai di Port Dickson menjadi produk utama pelancongan bagi Negeri Sembilan. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Port Dickson perlu mempunyai tarikan baharu dan bukan sekadar produk pantai peranginan supaya dapat terus menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Justeru Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, cadangan memba­ngunkan kawasan bebas cukai dalam usaha meningkatkan lagi potensi Port Dickson sebagai lokasi pelancongan utama di negeri ini disambut baik pemain industri perhotelan.

“Sebenarnya ia sudah lama dicadangkan namun memang ba­nyak perkara perlu diteliti dan kali ini ia timbul se­mula, bagi kami cadangan ini memang baik dan disokong ke­rana memang akan menambah dan menarik kunjungan pelancong.

“Di Johor Bahru ia telah dilaksanakan di sebuah kawasan hotel di sana dan ia berjaya, ramai yang masuk ke kawasan itu. Banyak kawasan lain juga mempunyai kawasan bebas cukai dan memang ia berjaya.

“Jika menjadi realiti, ia akan menjadi tarikan baharu di Port Dickson, kalau tidak buat, lama-lama orang cuma datang ke Port Dickson untuk pergi ke pantai, pelancong sentiasa mahukan kelainan, dalam pelancongan, kena buat benda-benda baharu sebagai tarikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenya­taan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun iaitu kerajaan negeri akan meneliti kemungkinan kesesuaian untuk memba­ngunkan kawasan bebas cukai di Port Dickson dalam usaha meningkatkan lagi potensinya sebagai lokasi pelancongan utama di negeri ini.

Sementara itu Haziz berpandangan, untuk melaksanakan kawasan bebas cukai itu bukanlah perkara yang mudah apatah lagi ia akan melibatkan banyak proses dan banyak pihak namun ia sesuatu idea yang sangat baik bagi merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

“Benda baharu memang ba­nyak kerja dan susah tetapi kita kena bekerja keras, semua pihak kena berusaha, kami sambut baik dan akan beri sokongan. Kalau ada kegigihan itu kita boleh berjaya dan bersaing de­ngan negeri lain, kena ada usaha dan patut disokong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN