PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) berharap kerajaan mengambil kira setiap pandangan disuarakan pemimpinnya berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) 2023 yang dijangka dibentang semula di Dewan Rakyat bulan ini.
RUU itu antaranya bertujuan melantik ahli-ahli lembaga pengarah LHDN mewakili Sabah dan Sarawak, namun, tertakluk kepada kuasa yang dipegang oleh seseorang menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, beliau diberitahu kerajaan mengambil maklum akan kebimbangannya sebelum ini mengenai pindaan RUU itu kerana berisiko menimbulkan masalah pada masa akan datang.
Kata Ahli Parlimen Kota Belud itu, pemberitahuan tersebut belum menjamin jika RUU LHDN tidak akan mewujudkan keadaan bias dalam pemilihan dan pengguguran keanggotaan ahli lembaga pengarah LHDN mewakili Sabah dan Sarawak, jika menteri berkuasa penuh ke atasnya.
“Saya tidak boleh memberi komen yang lebih-lebih berhubung perkara ini. Cuma, saya berharap kerajaan akan mempertimbang pandangan yang telah saya hujahkan di Dewan Rakyat sebelum ini.
“Saya juga berharap kerajaan akan merealisasikan ke arah pembentangan semula RUU pindaan ini kerana ia memberi makna cukup besar kepada Sabah dan Sarawak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 15 Jun lalu, RUU LHDN bacaan kali kedua yang sepatutnya diluluskan Dewan Rakyat ditangguh ke persidangan akan datang selepas ahli-ahli Parlimen berbahas mencadangkannya dirujuk dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi.
Hal itu bertujuan meminda beberapa peruntukan, bagi mengelakkan bias dalam pemilihan dan pengguguran keanggotaan ahli lembaga pengarah LHDN mewakili Sabah dan Sarawak yang mana seseorang menteri berkuasa penuh ke atasnya.
RUU itu bertujuan meminda Akta LHDN 1995 (Akta 533) yang mana Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa akta yang dicadang.
Fasal 2, bertujuan meminda Seksyen 6 Akta 533 untuk meluaskan keanggotaan Lembaga dengan menambah seorang yang mewakili Sabah dan seorang mewakili Sarawak yang hendaklah dilantik oleh menteri.
Fasal 3 bertujuan meminda Seksyen 7 Akta 533 untuk memperuntukkan bahawa anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) hendaklah juga memegang jawatan, tertakluk kepada terma yang ditentukan oleh menteri, selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan hendaklah boleh dilantik semula.
Fasal 4 pula bertujuan meminda Seksyen 9 Akta 533 bagi memperuntukkan pelantikan anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da) atau (db) juga boleh, pada bila-bila masa, dibatalkan oleh menteri tanpa memberi sebarang sebab.
Fasal 5 pula bertujuan meminda perenggan 28(a) Akta 533 bagi meluaskan kuasa pelaburan lembaga dengan menyimpan wang lembaga yang ada, untuk pelaburan ke dalam Bank Islam yang dilesenkan dengan sewajarnya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Isnaraissah ketika itu berhujah, sekalipun wakil-wakil Sabah dan Sarawak berada di dalam lembaga pengarah LHDN, ia tidak akan dapat melindungi keistimewaannya kerana pelantikan itu boleh ditarik semula.
Beliau turut mempersoal jika ahli lembaga pengarah mewakili Sabah dan Sarawak berisiko dipecat jika mendedahkan maklumat yang menyentuh kepentingan negeri atau tidak sealiran dengan kerajaan Persekutuan.
“Adakah wakilnya boleh dipecat dan dibatal oleh menteri? Kedua, apakah peranan ahli lembaga pengarah dari Sabah ini? Apakah statusnya sama dengan ahli lembaga pengarah yang lain atau lebih tinggi?
“Siapa pula yang akan cadangkan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam LHDN? Adakah perlu diikuti (keputusan) sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan?
“Adakah selepas berlaku pindaan RUU ini, kerajaan Persekutuan akan mendedahkan kutipan hasil negeri Sabah Sarawak kepada umum atau maklumkan kepada wakil-wakil kerajaan Sabah dan Sarawak yang menganggotai ahli lembaga pengarah LHDN?,” soalnya di Dewan Rakyat sebelum ini. – UTUSAN











