PETALING JAYA: Pas memutuskan menarik balik surat jemputan kepada semua wakil kedutaan negara-negara yang mengisytiharkan sokongan terhadap rejim Zionis Israel ke Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas, Jumaat ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Panitia Muktamar Pas ke-69, Khairul Faizi Ahmad Kamil kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah sama dilakukan Dewan Pemuda Pas yang memutuskan menangguh jemputan menghadiri jemputan ke muktamar sayap itu kepada semua wakil kedutaan negara mengisytiharkan sokongan terhadap rejim Zionis Israel dalam konflik di Gaza.
“Semua jemputan kepada mana-mana kedutaan yang menyokong Israel ditarik balik. Pemakluman kepada pihak kedutaan akan dibuat hari ini (semalam), insya-Allah,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, Setiausaha Pemuda Pas, Hanif Jamaluddin berkata, pihaknya memutuskan menangguhkan jemputan menghadiri jemputan ke Muktamar sayap itu kepada semua wakil kedutaan negara-negara yang mengisytiharkan sokongan terhadap rejim Zionis Israel dalam konflik di Gaza.
Katanya, tindakan itu adalah suatu isyarat pihaknya kepada negara-negara tersebut supaya berdiri atas dasar keadilan dan kemanusiaan.
Lazimnya, para perwakilan asing dalam kalangan pegawai kedutaan negara dijemput sebagai tetamu program Muktamar Pas yang diadakan pada setiap tahun.
Muktamar Tahunan Pas kali ke-69 diadakan di Shah Alam, Selangior dari 20 hingga 22 Oktober ini dengan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam menjadi lokasi utama pelaksanaan acara tahunan itu.
Selain itu, Muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat bermula 18 Oktober dan berakhir pada 19 Oktober ini manakala Muktamar Dewan Ulama serta Konvensyen Dewan HImpunan Pendukung dan Sidang Assabiqun akan diadakan 19 Oktober ini. – UTUSAN










