KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab dua soalan dengan 15 minit diperuntukkan bagi setiap pertanyaan semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) mulai esok.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, ia perubahan kepada jumlah soalan yang dijawab oleh Perdana Menteri yang sebelum ini sebanyak tiga pertanyaan.
Katanya, ia bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada lebih ramai ahli Parlimen untuk mengutarakan soalan bagi setiap pertanyaan MQT.
“Jadi, saya telah mengambil keputusan untuk membuat petua di bawah Peraturan Mesyuarat 100 dan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 24(5A) dan 24A(7) untuk membenarkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjawab dua pertanyaan MQT pada hari Selasa dengan diperuntukkan 15 minit bagi setiap pertanyaan.
“Peruntukan masa setiap pertanyaan ini membolehkan lebih soalan tambahan diajukan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk setiap pertanyaan. Pemahsyuran ini berkuat kuasa esok,” katanya sebelum memulakan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Johari berkata, sesi Kamar Khas bagi membincangkan usul berkenaan Perkara Tadbir Kerajaan di bawah Peraturan Mesyuarat 17 sebelum ini membolehkan tidak lebih daripada dua Ahli Parlimen dalam satu hari untuk merundingkan dua usul daripada setiap Ahli.
“Dalam hal ini, bagi memperkasa urusan Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 17 ini, pindaan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat telah diluluskan oleh Dewan ini pada Rabu, 11 Oktober 2023.
“Sehubungan itu, bermula pada hari ini, selepas menteri menjawab usul Peraturan Mesyuarat 17, maka Ahli Parlimen dibenarkan untuk mengemukakan satu pertanyaan tambahan untuk setiap usulnya, bagi maksud menerangkan apaapa butir yang telah dijawab,” katanya. – UTUSAN










