Parlimen: Lebih 25,000 syarikat milikan tunggal bertaraf bumiputera

Parlimen: Lebih 25,000 syarikat milikan tunggal bertaraf bumiputera

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 27, 335 syarikat milikan tunggal mendapat taraf Bumiputera di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia meliputi 48 peratus daripada 57, 316 syarikat milikan tunggal yang merupakan sebahagian daripada 108,870 syarikat berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Katanya, menyokong dasar keutamaan kepada syarikat Bumiputera, syarikat hendaklah memenuhi kriteria yang ditetapkan sebelum penarafan syarikat Bumiputera diberikan kepada syarikat yang berdaftar.

“Bagi memastikan kesahihan status syarikat, Kementerian Kewangan telah menetapkan supaya lawatan menentusah perlu dilaksana untuk menentukan sama ada syarikat layak diberikan status Bumiputera tidak tertakluk kepada dokumentasi sahaja.

“Kementerian Kewangan komited dalam mempermudah urusan pendaftaran syarikat selaras dengan prinsip-prinsip perolehan kerajaan iaitu akauntabiliti awam, ketelusan, nilai faedah terbaik, persaingan yang adil dan saksama,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, terdapat syarat-syarat lain untuk sesebuah syarikat meraih taraf Bumiputera.

“Contohnya sekurang-kurangnya 51 peratus daripada pekerja hendaklah terdiri daripada Bumiputera, pengurusan kewangan hendaklah dikuasai Bumiputera, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara kumulatif hendaklah dikuasai Bumiputera, jadi hanya kerana syarikat milikan tunggal tidak bermakna dapat taraf Bumiputera,” katanya.

Beliau menjawab soalan Mohd. Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) mengenai mengapa syarikat individu Bumiputera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berstatus pemilik tunggal tidak diberi status taraf Bumiputera bagi pendaftaran dengan Kementerian Kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN