PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) kini dalam proses perolehan dua pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) dari Itali yang mempunyai keupayaan mengesan keberadaan kapal selam dalam kawasan Laut China Selatan khususnya di Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia berikutan radar jarak jauh (LRR) oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara Tentera Laut di Labuan tidak dapat mengesan kapal selam.
Katanya, radar itu hanya untuk meninjau ruang udara yang kini lebih menghala perairan Laut China Selatan yang menjadi ‘sibuk’ sejak kebelakangan ini.
“Kerajaan juga dalam proses perolehan dan sudah diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperoleh satu lagi LRR yang kita akan letakkan di kawasan Pulau Layang-Layang kerana di kawasan Labuan, ia tidak boleh nampak jauh.
“Jadi, kementerian perlukan satu lagi radar untuk diletakkan di Pulau Layang-Layang untuk kita melihat lebih jauh lagi supaya ia dapat menjangkau di luar kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EZZ) kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu mengenai keupayaan LRR di Pangkalan Udara Tentera Laut di Labuan. – UTUSAN










