PETALING JAYA: Seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa ditamatkan bantuan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) sehingga tular di media sosial didapati telah menerima pelbagai jenis bantuan kerajaan.
Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan, OKU tersebut menerima Bantuan Sara Hidup Tentera, bantuan bakul makanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan bantuan bulanan Baitulmal yang berjumlah RM950.00 setiap bulan selain isteri OKU menerima pencen sebagai pesara kerajaan.
Katanya, EPOKU diperkenalkan untuk menggalakkan OKU terus bekerja, mampu hidup berdikari dan seterusnya menjadi ahli masyarakat yang produktif.
“Insentif ini diberikan kepada golongan OKU yang bekerja dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah. Namun apabila pendapatan telah meningkat atau penerima tidak lagi bekerja, maka kelayakan ini akan terbatal.
“Penerima telah menerima EPOKU berjumlah RM450.00 bermula pada bulan September 2020 hingga Ogos 2023. Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melakukan penelitian semula pada September 2023 dan mendapati penama tidak lagi bekerja dan EPOKU ditamatkan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu mengulas satu video yang tular di media sosial Facebook dan TikTok berhubung seorang warga emas OKU yang telah ditamatkan bantuan EPOKU.
Video tular itu telah dirakamkan di hadapan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Aras Bawah Menara Teo Chew, Kuala Lumpur.
Jelasnya lagi, EPOKU adalah antara skim bantuan untuk golongan OKU selain daripada Bantuan OKU Tidak Upaya Bekerja dan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar.
“Namun, syarat-syarat kelayakan perlu dipatuhi bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan berhak menerima bantuan sahaja akan diberikan insentif ini.
“Sumber kerajaan adalah terhad dan insentif atau bantuan kepada golongan tertentu adalah berdasarkan kelayakan,” katanya.
Justeru, katanya, masyarakat diingatkan supaya bertanggungjawab terhadap perkongsian di media sosial kerana kesan penularan berita palsu ini boleh mencetuskan keraguan dan kebimbangan tidak berasas kepada orang awam.
Kesalahan menyebarkan berita-berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. – UTUSAN