NRECC bantah cadangan Kelantan mahu ubah kawasan sensitif alam sekitar

NRECC bantah cadangan Kelantan mahu ubah kawasan sensitif alam sekitar

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) membantah keputusan Kerajan Negeri Kelantan untuk melaksanakan cadangan perubahan Pelan Pembangunan berkaitan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri tersebut.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Negeri itu pada tahun 2020 memutuskan supaya Kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS di Kelantan.

Beliau berkata, terdapat empat implikasi besar jika pengubahsuaian KSAS ini dilaksanakan antaranya menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara (RFN).

“Pengekalan HSK sebagai KSAS akan memastikan kawasan tersebut tidak boleh dibangunkan secara sewenang-wenangnya pada masa hadapan.

“Cadangan pengeluaran KSAS di Jajahan Gua Musang dikhuatiri akan menjejaskan status Taman Negara Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata, pelaksanaan keputusan ini masih di peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan di mana Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) negeri itu sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bermula pada 11 Oktober hingga 11 November depan.

Menurut beliau, pengeluaran daripada jumlah KSAS sedia ada dari Jajahan Jeli dan Gua Musang adalah hampir 88 peratus dan ini akan menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine dan keseimbangan ekosistem di negeri itu.

Ini kerana katanya, kawasan tersebut merupakan KSAS Tahap 1 yang merangkumi Kawasan Perlindungan sedia ada.

“Populasi Harimau Malaya dan lain-lain spesis di Kelantan termasuk gajah, seladang dan tapir akan terjejas disebabkan kehilangan habitat selain menjejaskan pergerakan haiwan-haiwan tersebut dari negeri-negeri bersebelahan iaitu dari Perak, Pahang dan Terengganu.

“Kehilangan habitat akan meningkatkan konflik manusia dan hidupan liar yang menyebabkan kerugian akibat kemusnahan hasil tanaman dan kerosakan harta-benda serta kehilangan nyawa,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, bagi tempoh 1996 hingga tahun ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap sebanyak 24 ekor gajah konflik di kawasan Kuala Krai, Kelantan dan memindahkannya ke habitat yang lebih sesuai.

Selain itu, Nik Nazmi berkata, tindakan ini juga dilihat memberi impak secara tidak langsung kepada morfologi sungai yang mana aktiviti guna tanah akan memberi kesan kepada pergerakan sedimen ke dalam sistem sungai dan seterusnya menyumbang kepada kekeruhan sungai.

“Pergerakan sedimen akan menyebabkan sungai menjadi cetek seterusnya mengakibatkan banjir.

“Hujan di kawasan tinggi yang telah dibuka akan menyebabkan gelinciran tanah yang membawa lumpur, batang kayu dan batuan ke kawasan kaki bukit dan menyebabkan kepala air,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, penebangan hutan yang tidak terkawal hasil daripada pengubahsuaian KSAS juga dilihat menyumbang kepada masalah banjir.

Katanya, selama lebih dari satu dekad, Kelantan masih menghadapi isu banjir kilat dan fenomena itu dilihat semakin serius disebabkan oleh kemusnahan hutan akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal.

“Hutan berperanan sebagai ‘span semulajadi’ dalam menyerap air hujan. Oleh itu, pokok memainkan peranan penting dalam menghalang aliran sedimen dan mengekalkan air, menjadikannya komponen penting dalam memelihara persekitaran yang stabil,” katanya.

Justeru, Nik Nazmi berkata, semua rancangan struktur yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) hendaklah selaras dengan polisi di dalam RFN dan Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 sedia ada yang diwartakan pada 31 Disember 2020 dengan mengambil kira dan menetapkan KSAS selaras dengan RFN.

Katanya, sebarang proses Pengubahan Rancangan Struktur Negeri Kelantan melibatkan KSAS yang tidak menepati polisi RFN akan bercanggah dengan penetapan dasar Kerajaan Persekutuan yang ditetapkan dalam RFN.

Jelas beliau, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) tidak boleh diluluskan sekiranya ia tidak selaras dengan rancangan pemajuan yang diwartakan.

“Dalam hal ini, NRECC dan jabatan atau agensi berkaitan akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Kelantan berhubung perkara ini.

“Kementerian berpandangan bahawa kawasan sensitif alam sekitar sedia ada di negeri itu hendaklah terus dikekalkan dalam Rancangan Pemajuan  bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi serta kemampanan alam sekitar HSK di Negeri Kelantan dapat dipelihara.

“Saya telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan menyatakan pandangan Kerajaan Persekutuan. Saya berharap agar dapat menimbang semula cadangan itu dan bersama-sama dengan NRECC untuk memperkasakan pengurusan dan pembangunan hutan serta mengekalkan kawasan hutan sedia ada demi kelestarian alam sekitar,” katanya.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya