PETALING JAYA: Polis menyiasat kemungkinan wujud penglibatan individu lain dalam rangkaian perniagaan membabitkan pengasas bersama syarikat penerbangan tambang murah MYAirline yang dipercayai hasil aktiviti pengubahan wang haram bernilai ratusan jutaan ringgit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menjalankan siasatan secara menyeluruh melibatkan sumber wang hasil perniagaan dimiliki lelaki bergelar Datuk serta isteri dan anaknya.
Beliau berkata, elemen siasatan termasuk bagi mengenal pasti sekiranya terdapat individu lain terlibat dalam kegiatan tersebut.
“Keterangan-keterangan mereka sedang diambil. Siasatan bukan tertumpu kepada mereka sahaja, kemungkinan kita siasat jika ada individu lain terlibat dalam aktiviti ini.
“ Kita turut siasat bagaimana sumber wang itu diperoleh hingga tertubuhnya syarikat penerbangan itu. Siasatan kita tidak terhad kepada satu syarikat, ia termasuk rangkaian perniagaan lain didakwa mempunyai kaitan dengan suspek yang ditahan membabitkan ratusan jutaan ringgit,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, buat masa ini tiada sebarang sitaan dan rampasan harta dibuat namun ia termasuk dalam aspek siasatan.
Semalam, akhbar ini melaporkan polis, menjalankan siasatan terhadap pengasas bersama syarikat penerbangan murah yang berusia 57 tahun ditahan polis bersama isterinya berusia 55 tahun dan anak lelakinya, 26 tahun pada Selasa lalu di Shah Alam, Selangor.
Ramli dilaporkan berkata, siasatan pihaknya meliputi pelbagai elemen termasuk bagi mengetahui sumber wang melibatkan rangkaian perniagaan dimiliki tiga beranak itu dipercayai hasil pengubahan wang haram.
Ketiga-tiga mereka direman empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang ditahan pada 8 Oktober lalu.
Katanya, lelaki berusia 51 tahun itu setakat ini memberikan kerjasama yang baik kepada polis.
Apabila ditanya sama ada pihaknya telah mengenal pasti sebarang aset atau harta melibatkan Roger, beliau enggan mengulas lanjut.
“Semuanya masih dalam siasatan, biar polis siasat dahulu,” katanya.
Pada 10 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan, siasatan dijalankan pihaknya terhadap Roger tertumpu kepada modus operandi berkaitan penjualan bon dipercayai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Razarudin dilaporkan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti aset-aset dimiliki Roger dipercayai daripada dana 1MDB bagi usaha bagi mendapatkan semula antaranya akaun bank, kenderaan dan rumah.-UTUSAN










