MyAirline didakwa tak bayar gaji, kakitangan lapor polis

MyAirline didakwa tak bayar gaji, kakitangan lapor polis

KAMARUL Baharin Mansor (tiga dari kiri) bersama pekerja-pekerja MyAirline hadir di IPD Sepang, Selangor hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa campur tangan kerajaan dalam isu membabitkan kakitangan syarikat penerbangan tambah rendah, MyAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) yang didakwa tidak dibayar gaji dua bulan sejak September lalu, selain tidak diperlakukan dengan adil. 

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, beliau dimaklumkan oleh kakitangan yang terkesan bahawa syarikat berkenaan turut gagal menyatakan status sebenar mereka sebagai pekerja yang masih tergantung hingga kini.

“Hari ini MTUC mengiringi pekerja-pekerja MyAirline membuat laporan polis berhubung isu gaji mereka yang tidak bayar. Mereka turut meluahkan kekecewaan terhadap syarikat berkenaan yang menghentikan operasi secara tiba-tiba.

“Kita lihat pemakluman mengenai menghentikan operasi secara sementara terhadap para pekerja juga tidak mencerminkan sikap profesional, walhal ia adalah sebuah syarikat penerbangan yang melibatkan kepentingan pekerja dan orang awam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 20 kakitangan MyAirline tampil membuat laporan polis selepas mendakwa syarikat berkenaan gagal membayar gaji pekerja selama dua bulan selain tidak membuat pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak Mei.

Mengulas lanjut, Kamarul Bahari berkata, sekiranya syarikat berkenaan terus mengambil sikap berdiam diri, keadaan bakal menjadi sukar buat kumpulan kakitangan terbabit terutama untuk mencari pekerjaan baharu.

“Saya rasa Kementerian Sumber Manusia perlu bertindak secara agresif dan konsisten dalam membuat tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya dan memastikan kakitangan yang berkhidmat di syarikat berkenaan menerima gaji mereka.

“Kita turut memohon KWSP dan Perkeso menyiasat tentang isu ini kerana saya dimaklumkan bahawa potongan gaji pekerja telah dibuat namun syarikat didakwa tidak membuat caruman. 

“Kita melihat tindakan itu sebagai satu kezaliman terhadap nasib kakitangan dan isu ini adalah isu pekerja yang turut memberi tempias terhadap tanggungan mereka. Kehidupan mereka ketika ini terjejas dan saya berharap kerajaan mengambil maklum dan membuat tindakan yang segera, selesaikan gaji pekerja dahulu kerana itu merupakan perkara asas dalam pekerjaan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pegawai khidmat pelanggan, Abdussalam Nek Kamal, 34, berkata, rata-rata kakitangan ketika ini berada dalam waktu sukar untuk meneruskan kehidupan terutamanya mereka yang mempunyai ramai tanggungan serta komitmen yang perlu dilunaskan.

Kata bapa kepada tiga anak itu, dia tidak mengharapkan sebarang pampasan susulan penggantungan operasi yang berlaku, namun mahu syarikat berkenaan melunaskan bayaran gaji selama dua bulan serta membuat caruman KWSP dan Perkeso yang dipotong sebelum ini.

“Kami benar-benar tersepit ketika ini kerana mempunyai banyak komitmen yang perlu dibayar sehingga terpaksa meminjam dari ibu bapa dan keluarga mentua. Pihak bank jugak tidak henti-henti hubungi kami, tapi macam mana nak bayar semua pinjaman kalau sampai hari ini belum terima gaji.

“Saya ini ada isteri dan tiga anak yang perlu ditanggung jadi kami mohon pihak syarikat buka mata dan bayar lah gaji semua kakitangan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, MyAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober sehingga diberitahu kelak. Dalam satu kenyataan, ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya