PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap pengecut selepas mengeluarkan kenyataan diugut negara-negara Barat kerana lantang menyuarakan isu serangan zionis Israel terhadap Palestin.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau ragu-ragu jika ugutan itu benar atau setakat rekaan semata-mata dalam keadaan perang di Gaza itu kini menjadi bahan berita utama di peringkat global.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, jika benar seperti didakwa, Wisma Putra hendaklah mengeluarkan bantahan sekeras-kerasnya menerusi kedutaan negara tersebut.
“Kenyataan Perdana Menteri beliau diugut oleh negara kuasa besar menunjukkan sikap pengecut beliau. Entah benar atau tidak wujud ugutan tersebut juga tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Sehingga kini beliau gagal mendedahkan negara mana yang membuat ugutan itu. Jika benar wujud ugutan, Perdana Menteri mesti mendedahkan negara manakah yang membuat ugutan itu. Ini maruah negara kita yang mesti dipertahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keengganan Perdana Menteri menggerakkan usaha diplomatik di peringkat antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin amat memalukan dan mendukacitakan.
Oleh itu beliau menyeru masyarakat antarabangsa mendesak Israel menarik balik sekatan menyeluruh bantuan kemanusiaan ke atas Gaza.
Katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menunaikan tanggungjawab menerajui usaha menamatkan sistem apartheid Israel di Gaza.
Selain itu katanya, kerajaan Malaysia mesti menggembleng segala kudrat diplomatik bukan sahaja melalui PBB, malah Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan kumpulan negara-negara membangun Brazil, Rusia, India dan China (BRIC) mendesak gencatan senjata yang dipersetujui Amerika Syarikat (AS).
“Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti lebih proaktif untuk mendesak resolusi segera mengutuk dan merangka tindakan untuk menghentikan kekejaman Israel.
“Rakyat Palestin amat memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan segera pencabulan undang-undang antarabangsa dan memastikan hak dan keselamatan mereka dilindungi,” katanya.
Semasa Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, 24 Oktober lalu, Anwar di hadapan lebih 10,000 orang ramai mengakui menerima banyak ugutan dan teguran oleh negara-negara yang cenderung kepada Israel khususnya Amerika. – UTUSAN










