Mindef perkasa aset pertahanan, sempadan, kebajikan tentera - Utusan Malaysia

Mindef perkasa aset pertahanan, sempadan, kebajikan tentera

KESIAPSIAGAAN anggota ATM perlu merangkumi senjata moden dan berteknologi tinggi. – IHSAN MINDEF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan memberi penekanan terhadap pelaksanaan beberapa perolehan aset baharu dengan memfokuskan pemerkasaan kedaulatan tanah air di samping terus berusaha memanfaatkan keseluruhan Belanjawan 2024 yang diluluskan.

Dalam kenyataannya, Mindef memberitahu, keutamaan dan agenda paling penting Kementerian Pertahanan melalui Belanjawan 2024 adalah: 1) Perolehan aset; 2) Keselamatan persempadanan negara; 3) Kesejahteraan warga pertahanan.

Menurut Mindef, dalam mengekalkan tahap keupayaan dan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perolehan semasa aset-aset baharu turut dipertimbangkan dalam perancangan belanjawan kali ini.

Kementerian Pertahanan dan ATM akan memulakan proses perolehan aset-aset baharu seperti berikut:

  1. TDM bakal memperoleh 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), 6 Hover Craft Integrated Fast Interceptor serta 733 Kenderaan Sokongan Pelbagai Jenis termasuk 45 unit bot pelbagai jenis;
  2. TLDM akan meneruskan perolehan 3 buah Littoral Mission Ship (LMS) dan kerja-kerja memasang pulih 2 aset kapal selam;
  3. TUDM bakal menerima perolehan 12 helikopter baharu.

Selain itu, Mindef menekankan keselamatan persempadanan negara akan terus dipertahankan dengan mempertingkat kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk negara.

“Oleh itu, bagi melancarkan keberkesanan kawalan pintu sempadan negara, sebanyak tujuh pembinaan Pos Imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, dengan peruntukan yang disediakan, Kementerian Pertahanan berkata, mereka juga akan menjaga kesejahteraan para warga tentera.

“Kesejahteraan anggota ATM dan veteran akan terus dipelihara dengan menyediakan RM400 juta bagi penyelenggaraan dan baik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

“Sebanyak RM20 juta disediakan untuk menaik taraf sistem pembentungan di kem TDM secara berfasa,” katanya.

Tambah kenyataan tersebut, veteran pertahanan akan terus diperkasa menerusi inisiatif PROTEGE-RTW.

“Program tersebut merupakan penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak kerajaan.

“Selain itu, veteran ATM akan mendapat manfaat melalui setiap program kerajaan yang mana kuota khusus akan diberikan seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan bagi melindungi kebajikan dan sosioekonomi veteran,” katanya.

Menurut Mindef, kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang dengan melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Orang Asli dan komuniti setempat.

Hospital Angkatan Tentera juga akan turut bekerjasama dengan hospital Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

Perkara terakhir yang yang difokuskan oleh Mindef termasuk bayaran Insentif sejumlah RM1,000 dipanjangkan kepada 216,758 veteran ATM  sama ada berpencen atau tidak.

Mindef menerima peruntukan sebanyak RM19.7 bilion bagi Belanjawan 2024.

Daripada jumlah tersebut, RM12.67 bilion adalah untuk Peruntukan Mengurus (OE) manakala RM7.05 bilion adalah bagi Peruntukan Pembangunan (DE).

Justeru Kementerian Pertahanan dan ATM berbesar hati dengan pengumuman Belanjawan 2024 berhubung dengan peningkatan bajet bagi sektor pertahanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya