MELAKA: Kerajaan negeri menggalakkan penjaja kecil dan usahawan baharu di negeri ini menggunakan transaksi digital dalam menjalankan urusan perniagaan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, dorongan itu selaras usaha kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai negeri pintar menjelang 2030.
Kata beliau, fokus utama ketika ini adalah untuk mendigitalkan Melaka dengan kemudahan pintar termasuk liputan 5G di semua kawasan dalam tempoh tujuh tahun.
“Kita telah menggalakkan (pendigitalan) semua usahawan baru dalam proses menjadikan Melaka negeri tanpa tunai. Walaupun berniaga di tepi jalan atau pasar malam, kita akan didik mereka.
“Guna tanpa tunai lebih selamat selain membantu menaik taraf ekonomi mereka dalam dunia digital yang baharu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Persidangan Antarabangsa dan Ekspo Smart Melaka 2023 (SMIX2023) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Ab. Rauf, setiap aspek pembangunan di negeri ini akan memfokuskan kepada ekosistem digital sebagai tumpuan utama.
Menurutnya, tumpuan tersebut melibatkan sektor perindustrian, pertanian, pendidikan, kesihatan, pembuatan, pengangkutan pintar dan pelancongan.
“Beberapa inisiatif yang digariskan dalam Pelan Induk Smart Melaka 2030 akan dilaksanakan secara berperingkat dalam merealisasikan fokus berkenaan.
“Kita akan jadikan Melaka sebagai negeri pertama di negara ini dan perintis dalam mendigitalkan segala aspek dalam bentuk statistik masyarakat, jumlah rakyat yang mendapat peluang pekerjaan dan apa yang kita boleh tawarkan semula kepada rakyat,’ ujarnya. – UTUSAN










