Malaysia kekal sokong Palestin meskipun terima ancaman - TPM

Malaysia kekal sokong Palestin meskipun terima ancaman – TPM

AHMAD ZAHID Hamidi dalam sidang akhbar selepas merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Tangga Batu di Taman Paya Rumput Utama, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Malaysia kekal dengan pendirian dan teguh menyokong Palestin walaupun wujud ancaman bom yang didakwa ekoran kelantangan negara membidas kekejaman Israel.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyeru semua pihak tidak perlu gentar dengan ugutan bom yang berlaku di Johor Bahru, Johor, semalam.

Menurutnya, ini kerana polis telah menyatakan bahawa bom itu adalah ancaman yang sengaja dibuat-buat.

“Cuma kita perlu berjaga-jaga dan tidak perlu khuatir dengan insiden yang berlaku.

“Mengikut kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, bahawa kita tidak perlu gentar pun dengan apa sahaja ancaman yang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Tangga Batu di Taman Paya Rumput Utama di sini, hari ini.

Semalam, pihak pengurusan sebuah pusat beli-belah dan hotel terkemuka di Johor Bahru menerima panggilan ancaman bom daripada seorang lelaki dipercayai warga asing. Lelaki berkenaan memberi amaran supaya berhenti memberikan sokongan kepada perjuangan Palestin ketika ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan, ancaman berkenaan adalah palsu.

Katanya, seramai 92 pegawai kanan dan anggota termasuk dua unit anjing pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi pada pukul 6.15 petang, sejurus laporan polis diterima.

Hasil pemeriksaan Unit Pemusnah Bom dan K9 hingga pukul 11.30 malam, tiada sebarang objek mencurigakan dikesan.

Tambah Ahmad Zahid, sebagai tanda bersolidariti bersama Palestin, kerajaan telah mengumumkan pelbagai bentuk bantuan termasuk peruntukan RM10 juta menerusi Belanjawan 2024.

Katanya, sebelum itu bantuan sebanyak RM1 juta telah diberikan, disusuli Perdana Menteri mengumumkan tambahan sebanyak RM10 juta.

“Saya akan menyelaraskan kutipan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan orang ramai yang disasarkan sebanyak RM100 juta untuk membantu rakyat Palestin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya