EAST RUTHERFORD: Pemain muda Chelsea, Tyrique George mencetuskan tumpuan dunia apabila enggan berjabat tangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa majlis penyampaian trofi Piala Dunia Kelab FIFA 2025, kelmarin.
Insiden yang berlaku di Stadium MetLife, New Jersey itu menyaksikan Trump yang diberikan peranan khas oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino menyampaikan pingat kepada para pemain Chelsea yang menjadi juara selepas menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-0..
Namun, ketika giliran George tiba, Trump kelihatan sedang sibuk mengambil pingat seterusnya dan pemain berusia 19 tahun itu terus melangkah ke hadapan, menerima ucapan tahniah daripada pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly, dan tidak mempedulikan Trump.
Walaupun tidak dapat dipastikan sama ada tindakan itu disengajakan atau tidak, reaksi spontan Trump yang berpaling ke arah George mencerminkan beliau menyedari situasi berkenaan.
Keadaan menjadi lebih janggal apabila Trump memilih untuk terus berdiri di pentas ketika kapten Chelsea, Reece James menjulang trofi berbeza dengan kelaziman tetamu kehormat yang biasanya berundur selepas majlis penyampaian.
Situasi itu turut mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pemain Chelsea, malah detik Cole Palmer menerima anugerah Pemain Terbaik Kejohanan daripada Trump juga menjadi tumpuan.
Reaksi Palmer yang kelihatan ragu-ragu turut menjadi topik perbincangan pemerhati bola sepak, di mana pemain itu dikatakan hanya membalas dengan ucapan ‘terima kasih’ selepas Trump memuji permainannya dan menyatakan beliau ‘seorang peminat tegar Chelsea’.
Trump dan Wanita Pertama AS, Melania tiba kira-kira 35 minit sebelum sepak mula menggunakan helikopter rasmi Marine One, terus dari kelab golf peribadi Trump di Bedminster.
Walaupun majoriti penyokong bersorak, ada juga sorakan mengejek kedengaran ketika Trump muncul di skrin gergasi stadium.
Insiden itu, termasuk detik George tidak bersalaman dengan Trump, kini menjadi topik hangat di media sosial, membangkitkan pelbagai reaksi sama ada ia satu bentuk protes halus atau sekadar salah faham. – AGENSI/UTUSAN










