KUANTAN: Sindiket penipuan dalam talian atau scammer didakwa turut menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat bagi merancang taktik licik memperdayakan mangsa sehingga mengalami kerugian mencecah ratusan ribu seorang.
Sindiket itu juga didakwa aktif merekrut dan melatih pekerja tentang teknik penipuan dan bertugas di pusat panggilan di ibu pejabat mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, antara jenis penipuan yang kerap dilaporkan ialah tawaran pekerjaan tidak wujud, Macau Scam, Love Scam dan scam pelaburan.
“Mangsa jenayah scam ini terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan pekerjaan, ada juga golongan profesional yang sering terpedaya tipu helah scammer terbabit.
“Scammer ini sudah mempunyai skrip, mereka sudah kaji dan berkemahiran mematahkan apa sahaja percakapan bagi memperdaya mangsa.
“Di ibu pejabat dan pusat panggilan mereka di negara ini, scammer ini bukan sahaja memperdaya dan menipu mangsa-mangsa dari dalam negara ini malah turut melibatkan luar negara,” katanya di sini semalam.
Menurut sumber itu lagi, modus operandi scammer adalah berdasarkan trend semasa.
“Mereka (scammer) ini kaji apa minat semasa orang ramai waktu itu, jika orang minat emas, mereka tawar scam pelaburan,” katanya.
Pada Jun lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan sebagai berkata, jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian atau online dari 2019 hingga Mei lalu berjumlah RM2.6 bilion.
Ahmad berkata, penipuan paling tinggi melibatkan scam pelaburan berjumlah RM984 juta.
“Jumlah kerugian akibat scam belian dalam talian RM365 juta, pinjaman tidak wujud RM210 juta, love scam RM268 juta, scam telefon RM637 juta, emel perniagaan RM134 juta dan penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) RM7.5 juta,” kata Ahmad.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes jenayah penipuan dalam talian 2022 mencatatkan sedikit penurunan iaitu 20,041 kes berbanding 20,701 kes pada 2021.
Jumlah kerugian akibat jenayah terbabit meningkat kepada RM684.5 juta tahun lalu berbanding jumlah kerugian dicatatkan pada 2021, iaitu sebanyak RM560.8 juta.
Mengulas lanjut, sumber itu memaklumkan, sindiket terbabit juga memperdaya mangsa yang dijadikan keldai akaun apabila menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta nombor pin kad untuk digunakan bagi tujuan jenayah penipuan mereka.
“Terbaru, scammer ini guna masyarakat Orang Asli. Mereka bayar RM500 untuk buka akaun bank, kad ATM mereka ambil,” katanya.
Mengulas isu tersebut, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, kegiatan scammer semakin berkembang dan bermaharajalela selepas wujud sejak sekian lama di negara ini.
“Sehubungan itu, YPNM meminta kerajaan supaya mewujudkan akta baru khusus untuk menangani masalah sindiket penipuan pelaburan atau apa juga bentuk sindiket berkaitan scammer ini.
“Akta baharu yang menyeluruh perlu dalam usaha membanteras sindiket penipuan atau scam ini,” katanya. – UTUSAN










