KUALA NERUS: Penduduk Kampung Baru Pulau Redang di sini menggesa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menggunakan tongkang untuk mengangkut sampah bagi menyelesaikan masalah longgokan sampah di pulau itu yang berlarutan sejak bertahun-tahun lalu.
Ketika ini, kerja mengangkut sampah itu dilakukan dua buah bot bersaiz enam meter dengan kekerapan tiga kali seminggu.
Seorang penduduk, Johasman Husin, 44, berkata, pada setiap hari, dianggarkan kira-kira tiga tan metrik sampah dibuang oleh kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Baru, Pulau Redang.
Bagaimanapun, katanya, kontraktor pembersihan sampah yang menggunakan bot hanya mampu mengangkut 1.5 hingga dua tan metrik sampah sahaja bagi setiap perjalanan.
“Sebab itu masalah sampah ini tidak akan selesai kecuali diangkut menggunakan tongkang untuk dilupuskan di daratan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Selain itu, katanya, jadual pembersihan sampah yang dilaksanakan ketika ini juga masih tidak efektif untuk menyelesaikan masalah itu secara keseluruhannya.
“Ketibaan Monsun Timur Laut tidak lama lagi turut menambah resah penduduk kerana kontraktor pembersihan pasti sukar mengutip timbunan sampah itu kerana keadaan laut yang bergelora,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Mahadi Mustafa, 53, pula berkata, mereka tidak berniat mahu menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya mahu sampah yang membukit itu segera dibersihkan dan diangkut ke daratan untuk pelupusan.
Menurutnya, masalah sampah di Pulau Redang tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan kerana ia adalah destinasi pelancongan terkenal di seluruh dunia.
“Ada juga pelancong kecewa dengan longgokan sampah itu yang menyakitkan mata dan simpati dengan nasib penduduk yang terpaksa menghidu bau busuk,” katanya. –UTUSAN











