Sudah jemput banyak band Malaysia, mereka ada komitmen lain - Penganjur - Utusan Malaysia

Sudah jemput banyak band Malaysia, mereka ada komitmen lain – Penganjur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“INI festival muzik Malaysia ke Indonesia?”

Tulis pengguna di media sosial selepas penganjur Festival Ultra Kalcer, Neptunes Presents mengumumkan senarai akhir persembahan yang bakal memeriahkan dua hari acara muzik yang bakal berlangsung di KL Festival Park, Kuala Lumpur pada 7 dan 8 November ini. 

Daripada 18 artis yang disenaraikan 12 penyanyi diterbangkan dari Indonesia sementara enam yang lain merupakan artis independen meningkat naik yang dipilih untuk turut serta beraksi di acara itu. Bagaimanapun, pengguna media sosial merasakan barisan artis tidak seimbang apalagi acara ini diadakan di tanah air sendiri. 

Seolah mengetahui bahawa senarai artis akan mengundang perdebatan, Ketua Pegawai Eksekutif  Neptunes Presents, Mohd Izwan Johar berkata, sebagai penganjur dia mengakui sukar untuk memperoleh senarai persembahan yang boleh memuaskan hati semua orang. Bagaimanapun, jelas Izwan, tawaran telah diberikan awal kepada beberapa band tempatan bagaimanapun mereka gagal mencapai kesepakatan kerana jadual artis bertindih dengan komitmen lain.

“Cabaran paling besar adalah mahu memuaskan hati semua orang. Kami nak jemput banyak band Malaysia, tapi ada yang kami nak tempah, mereka dah ada show sebulan sebelum atau sebulan selepas.

“Kami tidak mahu kacau acara orang lain. Kami tak boleh jelaskan semua benda pada orang awam, tapi harap mereka faham bahawa kami sentiasa berusaha yang terbaik. Festival muzik ini adalah ‘pilot project’, di mana kita akan perbaiki, lihat sambutan dan berikan yang terbaik pada masa akan datang,” katanya. 

Festival Ultra Kalcer merupakan projek di bawah  Neptunes Presents yang sebelum ini berpengalaman mengadakan konsert dan festival muzik berskala besar di Malaysia seperti Nyala Fest pada 2024.

Ditanya mengenai enam band Malaysia yang tersenarai untuk mengisi slot persembahan iaitu Rangkaian Fugo, The Alif, Okirama, Dukes, Citykops dan Belia Benci Club, Izwan berkata, pihaknya mempunyai kriteria tertentu untuk memilih mana-mana artis beraksi di festival muzik anjurannya.

“Kami tengok semua benda baik daripada YouTube, persembahan secara langsung, sehinggalah jumlah pendengar di Spotify dan Apple Music. Kami kurasikan semuanya dan hubungi pihak pengurusan band. 

“Kami mahu bantu band indie tempatan supaya bila buat persembahan di pentas festival besar, mereka datang dengan pakej profesional iaitu jurutera bunyi yang betul, visual dan set yang cantik. Tak naklah sekadar ‘bidang terjun’ naik atas pentas, nyanyi, lepas itu baik. 

“Persembahan yang mereka buat nanti mestilah beri impak kepada pembeli tiket dan peminat. Kami sedia bekerjasama dengan band untuk pastikan persembahan mereka di festival ni jadi batu loncatan untuk penganjur lain atau penaja nampak kualiti mereka,” katanya lagi.

Senada dengan Izwan, pengarah urusan merangkap dan jurucakap Neptunes Presents, Nabila Huda berkata, pihaknya menitikberatkan soal permintaan. Setiap artis yang dipilih adalah berdasarkan daripada semakan dan pungutan suara yang dibuat menerusi media sosial.

“Ini perayaan anak muda yang dipanggil ‘culture’, jadi kita lihat kepada permintaan. Kami buat tinjauan di Instagram yang mana memang pengikut kami adalah mereka yang turun ke festival muzik tidak kira dalam atau luar negara. Dari situ kita perhatikan mereka peminat siapa.

“Sebagai penganjur juga, kami juga melakukan kajian untuk mengadakan festival muzik keluar untuk belajar macam mana orang lain buat festival. Jangan tengok dekat Malaysia saja, kena juga pergi Indonesia, Eropah lihat apa yang mereka tawarkan kepada pembeli tiket,” katanya lagi.

Tambah Nabila yang selesa disapa Abil, dia tidak mahu festival muzik dilihat sebagai entiti yang memisahkan pemuzik mengikut negara sebaliknya meraikan muzik sebagai sebuah anugerah yang boleh dinikmati bersama.

“Pada saya, muzik adalah sesuatu yang menyatukan semua orang. Tidak kira bangsa, agama, negeri atau di mana-mana negara. Semua orang mahu tengok persembahan yang bagus. Oleh itu, penganjur kena buat semua berasa selesa.

“Melalui muzik semua orang datang dan berkumpul macam rumah. Kita pun tidak mahu buat konsert macam penjara apabila terlalu banyak pantang larang. Ya keselamatan kita jaga begitu juga pastikan pembeli tiket seronok” katanya.

Festival Ultra Kalcer menampilkan 19 orang artis untuk dua hari acara menampilkan artis luar negara seperti Hindia, Barasuara, Krisdayanti, Naykilla dan lain-lain.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila terdapat beberapa pihak mempertikaikan jumlah band dan bakat tempatan yang diundang untuk beraksi di festival muzik tersebut. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×