JOHOR BAHRU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan untuk pasaran tempatan mencukupi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula bulan depan hingga Mac, tahun depan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya telah menyediakan beberapa inisiatif bagi menjamin perkara tersebut sebagai persediaan awal.
Menurut beliau, antara langkah itu termasuklah mendapatkan bekalan ikan dari negeri atau kawasan yang tidak terjejas sekiranya monsun melibatkan pantai timur Semenanjung.
“LKIM juga ada menyediakan ikan sejuk beku yang disimpan menggunakan teknologi penyejukbekuan Individual Quick Freezing (IQF). Ini adalah teknologi
pemprosesan yang menjamin kesegaran ikan dimana ikan-ikan itu akan dijadikan stok penimbal dan sedia untuk dipasarkan kelak.
“Kita mempunyai bekalan ikan IQF sebanyak 90 tan metrik yang disimpan dalam bilik sejuk beku milik LKIM ketika ini. Selain itu, rakan dagang kita iaitu pihak swasta yang bekerjasama dengan kita juga mempunyai simpanan berjumlah 1,600 tan metrik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Johor di Kompleks Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah LKIM Johor, Intan Suhaila Othman dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz.
Tambah Muhammad Faiz, LKIM juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk membeli ikan tambahan bagi memastikan bekalan produk itu mencukupi dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, berhubung program berkenaan, pihaknya menyampaikan bantuan kepada seramai 68 nelayan di bawah PNK Johor Selatan menerusi Program Peningkatan Pendapatan, Insentif dan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point).
“Bantuan ini bertujuan meningkatkan pendapatan nelayan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan selain menambah kecekapan serta kemahiran mereka ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan.
“Sebanyak RM61,500 diperuntukkan bagi bantuan ‘touch point’ kepada 51 penerima dalam bentuk satu unit enjin bot 40 kuasa kuda kepada seorang penerima, 50 unit kotak ikan berinsulasi 100 Liter (50 penerima) dan 150 unit jaring (50 penerima).
“Sementara itu, sebanyak RM15,900 pula diperuntukkan untuk satu unit enjin bot 30 kuasa kuda dan 35 unit jaring masing-masing kepada seorang penerima selain RM9,672 diperuntukkan bagi bantuan ‘touch point’ kepada 16 penerima,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, pihaknya berharap nelayan tempatan akan bersikap lebih proaktif dalam memodenkan teknik penangkapan dengan menguasai teknologi perikanan terkini.-UTUSAN










