LKAN: Agihan projek KADA tidak teratur

LKAN: Agihan projek KADA tidak teratur

WAHID Mat Nor dan isterinya mengusahakan sawah mereka di Parit 10 Labu Kubong, Chenderong Balai. Teluk Intan di Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 mengesan agihan hasil padi bagi Projek Ladang Merdeka berjumlah RM4.36 juta tidak teratur dengan RM2.2 juta daripadanya diagihkan kepada 917 peserta yang meninggal dunia.

Menurut LKAN, perkara itu berlaku disebabkan kelemahan perjanjian yang tidak pernah disemak sejak 1992, kelemahan pemantauan tempoh agihan hasil padi serta penyelenggaraan rekod peserta yang tidak dikemas kini.

Kata laporan itu, ini kerana analisis terhadap Senarai Pembahagian Hasil Ladang Merdeka dan semak silang dengan Sistem myIDENTITY Jabatan Pendaftaran Negara apabila agihan itu dibuat kepada wakil peserta yang tidak mempunyai surat kuasa wakil atau surat mentadbir pusaka. 

Dapatan itu antara hasil pengauditan dijalankan di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan meliputi agihan hasil padi Projek Ladang Merdeka bagi tempoh 2020 hingga 2021. 

Justeru, LKAN 2021 mengesyorkan KADA menyemak perjanjian projek dengan peserta serta menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif merangkumi pengeluaran surat kuasa wakil, kaedah agihan hasil padi dan penamaan waris. 

Selain itu, laporan itu mendapati sejumlah RM471,996 hasil padi tidak diagih kepada peserta pada setiap akhir musim penanaman padi sejak 2013. 

Perkara itu termasuk hasil padi sebanyak RM95,503 dan RM143,331 pada akhir musim penanaman pada 2020 dan 2021. 

Ia turut merangkumi hasil padi terkumpul bagi musim penanaman padi bagi 2013 hingga 2019 berjumlah RM233,162 juga tidak diagih kepada peserta setakat 31 Disember 2021.

“Audit mengesyorkan data peserta Projek Ladang Merdeka diselenggara dengan lengkap, dikemas kini dan sistematik serta pemantauan rapi bagi memastikan agihan hasil padi yang teratur. 

“Seterusnya, kaedah pembayaran melalui pindahan secara elektronik ke akaun bank peserta perlu ditambah baik bagi memastikan proses agihan hasil padi dibuat mengikut tempoh yang ditetapkan,” menurut laporan itu. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN