Lelaki tikam wanita di kedai dobi layan diri ditahan  - Utusan Malaysia

Lelaki tikam wanita di kedai dobi layan diri ditahan 

SUSPEK kes tikam seorang wanita yang ditahan reman empat hari dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai suspek kes tikam seorang wanita di kedai dobi layan diri di Kampung Seberang Takir dekat sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail, berkata, penahanan itu dibuat di Kampung Mengabang Telipot, Kuala Nerus kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek berusia 25 tahun yang merupakan seorang penganggur itu positif dadah ketika ditahan.

“Pihak polis masih menyiasat motif kejadian namun tidak menolak kemungkinan suspek cuba melakukan samun terhadap mangsa yang juga wanita tempatan berusia 31 tahun.

“Siasatan awal menunjukkan kedua-dua mereka tidak mengenali antara satu sama lain dan mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 393 akta sama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu suspek yang diiringi anggota polis di bawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu untuk mendapatkan perintah reman, hari ini.

Majistret Yuhanis Mohd. Roslan kemudian membenarkan lelaki berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis bagi membantu siasatan pihak polis.

Dalam kejadian pukul 3 petang kelmarin, seorang wanita dikejarkan ke hospital setelah ditikam menggunakan gunting oleh suspek di dalam sebuah dobi berhampiran Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dekat sini.

Turut tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan memaparkan suspek yang meluru masuk lalu menikam mangsa sebelum melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya