Lelaki didakwa bunuh anak teman wanita - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa bunuh anak teman wanita

MUHAMMAD Haziq Mustafa (tengah) menghadapi pertuduhan membunuh anak lelaki teman wanitanya berusia dua tahun dua minggu lalu ketika didakwa di Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Seorang pekerja kontrak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelaki teman wanitanya berusia dua tahun di Bagan Serai, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Haziq Mustapa, 26, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga seorang duda didakwa melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian Ayyash Aulian Muhammad Faizul berusia dua tahun di sebuah rumah di Taman Serai Permai, Bagan Serai antara 11 hingga 13 Oktober 2023.

Pertuduhan terhadap Muhammad Haziq yang tidak diwakili peguam itu dikemukakan Pegawai Pendakwa, Inspektor M. Saravanan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan

Mahkamah menetapkan 30 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Menerusi laporan media pada 14 Oktober lalu, tiga individu termasuk pasangan suami isteri warga emas ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Kejadian menimpa kanak-kanak malang itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada Klinik Kesihatan Bagan Serai mengenai mangsa yang dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk dirawat.

Mangsa yang dihantar ke klinik oleh warga emas berusia 62 dan 57 tahun itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

Berdasarkan siasatan, kanak-kanak terbabit telah diambil oleh anak lelaki pasangan warga emas itu pada 10 Oktober lalu untuk dijaga sementara sebelum mangsa dipukul suspek hingga cedera di beberapa bahagian badan.

Hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh mendapati punca kematian kanak-kanak itu akibat pendarahan teruk pada bahagian kepala kerana hentakan objek tumpul selain kesan luka melecur dan kecederaan pada lubang dubur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN