PETALING JAYA: Bahang kemeriahan Kejohanan Kronos Tranung Junior Cup semakin dirasakan apabila lebih 500 pemain di peringkat akar umbi yang mewakili 32 pasukan mengesahkan penyertaan untuk berentap memburu kejuaraan edisi kedua pertandingan itu.
Kejohanan di Padang KTC Arena, Batu Buruk, Terengganu pada 28 Oktober ini menampilkan pemain-pemain berusia bawah 12 tahun dari akademi-akademi bola sepak seluruh negara termasuk Johor, Selangor, Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Penaung Kronos Tranung Soccer Akademi (KTSA), Mohd. Yusran Mat Sharif berkata, menjelang dua minggu sebelum kejohanan itu berlangsung, persiapan berjalan lancar dengan turut mendapat bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu serta 16 pihak sebagai penaja bersama.
“Pengundian bagi menentukan kedudukan pasukan dalam kumpulan dilakukan secara dalam talian pada 23 Oktober ini melalui laman Facebook Kronos Tranung Soccer Academy serta NS 7 Global Venture selaku urus setia teknikal kejohanan,” katanya hari ini.
Menurut Mohd. Yusran berkata, orang ramai dijemput beramai-ramai hadir menyaksikan aksi sengit semua pasukan bertanding selain memeriahkan kejohanan sekali gus sebagai tanda sokongan terhadap program pembangunan akar umbi bola sepak.
Katanya, gerai jualan penaja seperti pakaian sukan jenama Kronos, syarikat telekomunikasi RedOne, Kopi Super Jantan, Agro Bank dan Paijang Sport turut disediakan di lokasi kejohanan.
“Sebanyak 10 tapak vendor makanan dari orang luar juga disediakan untuk penonton yang hadir,” katanya.
Selain untuk pembangunan bakat-bakat muda dan mendedahkan suasana pertandingan yang sihat, objektif kejohanan tahunan itu adalah untuk mempromosi serta menarik orang luar berkunjung ke Terengganu. – UTUSAN