Lebih 20 lagi rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar

Lebih 20 lagi rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar

SEORANG mangsa wanita berumur 40 tahun dari Kota Belud, Sabah yang dikenali Chiko dibawa pulang selepas diselamatkan daripada sindiket Love Scam di Myanmar ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang wanita tempatan yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar mendakwa sekitar 20 orang lagi rakyat Malaysia terperangkap di negara itu.

Wanita berusia 40 tahun berasal dari Kota Belud, Sabah itu mendakwa rakyat tempatan itu kini sedang menanti untuk diselamatkan.

Dia yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1) hari ini berkata, dia terperangkap di negara itu sejak 14 bulan yang lalu selepas terpedaya dengan tawaran kerja sebagai pegawai khidmat pelanggan.

“Saya diperkenalkan oleh seorang rakan untuk bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Bangkok, Thailand dengan tawaran gaji yang lumayan.

“Selepas tiba di Bangkok, saya kemudian dibawa ke Myawaddy, Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ oleh sindiket berkenaan.

“Saya hanya dibayar gaji dua bulan pertama sahaja selain dibenarkan menghubungi keluarga dua kali sebulan. Selain itu, telefon bimbit dan pasport saya juga dipegang oleh sindiket,” katanya yang pernah diseksa menggunakan alat genjatan elektrik.

Katanya, ahli keluarganya juga sudah berhabis RM20,000 sebagai wang tebusan untuk membebaskannya sebelum ini namun, sindiket kemudian meminta jumlah wang tebusan lagi besar.

Jelasnya lagi, dia menasihati rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan menerusi laman sosial terutama yang menawarkan gaji lumayan.

Selain itu, katanya, mangsa sindiket terutama beragama Islam turut disajikan dengan makanan tidak halal termasuk daging babi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menolak tohmahan segelintir pihak yang mendakwa proses membawa pulang mangsa dibuat mengikut saluran tidak sah.

Menurutnya, dakwaan itu tidak benar sebaliknya mangsa di bawa keluar dengan kerjasama Polis Negara ASEAN (ASEANAPOL) terutama dari Thailand, Laos dan Kemboja.

“Usaha membawa pulang rakyat kita yang terperangkap di sana tidak sukar memandangkan kita ada hubungan baik antara negara-negara berkenaan.

“Malah, setakat pagi tadi pun, masih ada rakyat Malaysia yang menghubungi kami dan minta untuk diselamatkan,” katanya.

Katanya, pihaknya mendapati mangsa kali terakhir cop pasport di Bangkok, Thailand sebelum di seludup ke Myanmar menerusi laluan tikus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN