PETALING JAYA: Lebih 100 pekerja asing warganegara Bangladesh ‘terperangkap’ di sebuah rumah di Seri Kembangan, Selangor selepas dijanji untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi tidak ditunaikan.
Menurut sumber, pekerja asing yang tiba di negara ini kira-kira 40 hari lalu diambil oleh salah sebuah agensi untuk bekerja di beberapa ladang didakwa milik agensi kerajaan.
Bagaimanapun, sumber tersebut berkata, mereka belum diterima bekerja dan tidak menerima apa-apa gaji atau ‘token’.
“Jumlah keseluruhan pekerja yang diambil oleh agensi tersebut ialah 2,000 orang. Tetapi segelintir sahaja yang dapat bekerja.
“Selebihnya tidak diketahui nasib mereka. Kita percaya ada lebih 800 lagi yang terperangkap dan kita mengesan sebanyak 150 orang setakat ini yang memang ditinggalkan dalam sebuah rumah lebih 40 hari dalam keadaan penuh sesak dan terhimpit,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut sumber itu, apa yang menyedihkan, semua lebih 100 pekerja asing itu dipaksa tinggal dalam sebuah rumah yang hanya mempunyai sebuah tandas.
“Selain itu, dapur yang disediakan pula hanya mempunyai dua tempat memasak dan rumah tersebut dikunci serta semua pekerja asing ini tidak dibenarkan keluar.
“Kemudahan lain seperti periuk nasi yang diberikan kecil, cukup untuk kegunaan bagi memasak nasi kira-kira sekilogram sahaja,” katanya.
Katanya, berdasarkan standard dan piawaian Jabatan Tenaga Kerja (JTK), keluasan rumah berkenaan hanya boleh memuatkan kira-kira 10 pekerja sahaja dalam satu-satu masa.
“Di samping itu, pekerja perlu dibayar gaji sebanyak RM1,500 walaupun mereka tiada kerja untuk dilakukan.
“Apa yang menjadi masalah, agensi ini hanya mengambil pekerja tanpa memikirkan keperluan,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, kebiasaannya majikan yang terlibat dalam kes seperti ini perlu membayar balik kos yang ditanggung pekerja asing iaitu antara RM20,000 sehingga RM25,000. – UTUSAN










