KUALA LUMPUR: Laungan ‘Free! Free! Palestine!’ bergema di setiap sudut di sekitar Dataran Merdeka dekat sini ketika lebih 5,000 orang menyertai perhimpunan Free For Palestine semalam.
Sambil memegang pelbagai sepanduk, ia jelas menunjukkan tanda kemarahan mereka terhadap rejim zionis yang kini diketuai Benjamin Netanyahu yang turut diberikan pelbagai gelaran hina.
Perhimpunan solidariti diketuai Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE itu bertujuan bagi memberikan sokongan padu dalam mempertahan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa.
Sekitar pukul 9 pagi lagi orang ramai sudah mula memenuhi persekitaran Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.
Perhimpunan tersebut bukan sahaja dibanjiri umat Islam malah turut disertai penganut pelbagai agama serta berbilang bangsa bagi menunjukkan prihatin dan kemanusiaan terhadap mangsa perang di Palestin.
Turut menghadiri perhimpunan tersebut ialah Naib Presiden PKR yang juga tetamu kehormat iaitu Nurul Izzah Anwar; pemimpin gereja berpengaruh, Goh Keat Peng dan aktivis hak asasi manusia, Tan Zee Kin.

Nurul Izzah ketika berucap dalam perhimpunan itu menyifatkan kezaliman yang dilakukan tentera rejim zionis terhadap penduduk Palestin merupakan kesalahan besar dan merupakan penjenayah dalam peperangan.
Beliau berkata, tindakan rejim zionis itu adalah melampau sehingga sanggup melibatkan kanak-kanak menjadi korban peperangan tersebut.
Katanya, pengeboman roket terhadap sebuah hospital di Palestin baru-baru ini telah meruntun jiwanya kerana tindakan tidak berperikemanusiaan itu meragut ribuan nyawa termasuk mereka yang berteduh mendapat perlindungan di sekitar hospital tersebut.
Kejadian itu menerima beberapa kecaman daripada warga dunia yang menyokong solidariti bagi penduduk Palestin.
Justeru Nurul Izzah yang merupakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menggesa rakyat negara ini untuk bersama-sama memperjuang nasib penduduk Palestin.
“Suara-suara moral rakyat kita amatlah penting membanteras kekejaman kezaliman rejim zionis. Ini kerana hampir 50 peratus daripada penduduk Gaza adalah golongan kanak-kanak, namun hak mereka untuk dilindungi tidak dipedulikan,” katanya.
Tambah beliau, gencatan senjata patut dikenakan kepada tindakan kejam tentera-tentera Zionis tersebut termasuk negara yang tidak bersikap adil dan rasional serta membekalkan bekalan bahan peperangan kepada mereka.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meluahkan rasa terharu kerana berpeluang bersama memberi sokongan dalam perhimpunan itu sebagai solidariti bagi rakyat Palestin.
“Saya gesa agar rakyat Malaysia turut bersama-sama untuk menyokong perjuangan ini. Isu ini bukan hanya satu isu yang dihadapi oleh umat Islam, tetapi kita lihat bagaimana beberapa hari yang lalu sebuah gereja antara yang paling tua di Palestin telah dibom.
“Tindakan rejim Zionis itu tidak mengenal agama dan bangsa, ini menunjukkan semua menjadi mangsa keganasan mereka,” katanya. – UTUSAN










