PETALING JAYA: Lapan kawasan di Lembah Klang termasuk satu Melaka merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan rata-rata melebihi 150 pagi ini.
Berdasarkan kemas kini laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 11 pagi tadi, kawasan tersebut adalah Cheras (157); Petaling Jaya (143); Shah Alam (153); Klang (155); Johan Setia (153); Banting (156); Nilai, Negeri Sembilan (151) dan Bukit Rambai, Melaka (153).
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
APIMS turut menunjukkan, kualiti udara di 56 stesen lain adalah sederhana dan hanya empat kawasan iaitu Kota Bharu, Kelantan; Sri Aman dan Sibu, Sarawak; serta Kimanis di Sabah yang berkualiti udara baik.
Sementara itu, Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) meramalkan akan berlaku peningkatan taburan hujan di wilayah berhampiran garisan Khatulistiwa, sementara cuaca kering dijangka berterusan di selatan dan tengah Sumatera, dan selatan Kalimantan untuk beberapa hari akan datang.
“Titik panas yang tinggi dan jerebu asap sederhana hingga tebal berkemungkinan berterusan di kawasan yang terdedah kepada kebakaran di kawasan ini. Risiko jerebu merentas sempadan kekal, dengan angin di selatan Asean diramalkan bertiup terutamanya dari tenggara ke selatan dan kadang-kadang dari barat daya,” katanya.
ASMC juga sebelum ini melaporkan, mengesan 121 titik panas di Kalimantan, 67 di Sumatera, Indonesia berbanding satu saja di Sabah dan Sarawak yang menyebabkan berlaku jerebu rentas sempadan.
Menurut portal ASMC, keadaan jerebu serantau terkini adalah cuaca kering berterusan di sebahagian besar wilayah selatan ASEAN semalaman, kecuali bahagian utara Sumatera dan utara Borneo. – UTUSAN










