TELUK INTAN: Walaupun semakin kurang penumpang, perkhidmatan bot penambang menyeberang Sungai Perak di jeti Pokok Asam di sini yang sudah wujud sejak lebih 60 tahun lalu tetap diteruskan.
Pengusaha bot penambang, Lee Nam Khuat, 62, berkata, dia akan terus menyediakan perkhidmatan itu untuk kemudahan penduduk Kampung Sungai Buaya, Sungai Jawi, Sungai Timah dan Seberang Perak dan Ladang Rebana.
Menurutnya, penumpang semakin berkurangan selepas siapnya Jambatan Sultan Yusof di Jalan Sitiawan-Teluk Intan dan Jambatan Kampung Gajah-Pasir Salak.
Menurutnya, begitupun masih ada penduduk yang memerlukan perkhidmatan bot penambang kerana lebih mudah dan cepat untuk ke bandar Teluk Intan.
“Saya sudah memberikan perkhidmatan bot penambang ini selama 30 tahun. Dulu memang bot pilihan utama penduduk namun apabila jambatan sudah dibina, suasananya berubah, penumpang tak ramai seperti dahulu.
“Namun masih ada yang mahukan perkhidmatan bot ini kerana lebih cepat untuk ke Teluk Intan, hanya 10 minit menyeberang Sungai Perak.
“Satu trip perjalanan, bot boleh memuatkan 15 hingga 20 penumpang dan beberapa buah motosikal. Tambah tak mahal, penumpang 70 sen sahaja motosikal, RM1,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, jumlah penumpang semakin berkurangan, adakalanya yang naik hanya tiga atau lima orang, malah pernah hanya seorang penumpang.
“Begitu juga pada Sabtu dan Ahad, jumlah penumpang tidak menentu, kadang-kadang ramai penduduk yang membawa hasil kebun seperti jambu, buah nangka, hasil tanaman kampung untuk di jual di bandar Teluk Intan.
“Pendapatan saya memang tak menentu. Saya tidak mengenakan tambang yang mahal, saya tidak sampai hati walaupun kos operasi meningkat,” katanya.
Menurutnya, bot penambang miliknya diwarisi daripada bapanya dan dia tidak pernah rasa jemu membawa penumpang.. UTUSAN










