JOHOR BAHRU: Hasrat Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) untuk menguatkuasakan larangan meletak kenderaan di laluan awam termasuk di hadapan kediaman mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk.
Namun, majoriti penduduk bersetuju dan yakin langkah itu dapat membantu kelancaran trafik di kawasan kediaman, khususnya melibatkan laluan-laluan kecil dan sempit.
Jazaidi Jamal, 52, dari Taman Bukit Dahlia, di sini berkata, langkah itu perlu diambil segera terhadap pemilik kenderaan lama yang dibiarkan usang di tepi-tepi jalan termasuk di kawasan parkir kedai selama berbulan atau bertahun lamanya.
“Pemilik kenderaan perlu sedar terutamanya jumlah kenderaan semakin meningkat dan jangan biarkan kereta-kereta lama memenuhi persekitaran. Sebagai penduduk sesebuah kawasan perumahan, kita jangan meletak kenderaan di kawasan yang menghalang laluan awam, itu memang tidak wajar, lebih-lebih lagi di kawasan seperti Pasir Gudang ini yang terdapat banyak kediaman lama dengan laluan agak kecil dan sempit sehingga menyukarkan pemandu lain,” kata bapa yang mempunyai dua anak itu kepada Utusan Malaysia.
Antara kawasan yang sering berdepan masalah itu di Pasir Gudang termasuk Taman Scientex, Taman Nusa Damai, Taman Kota Masai dan Taman Air Biru.
Seorang lagi penduduk, Siti Maishara Supaid, 38, pula percaya langkah penguatkuasaan undang-undang itu akan turut membantu meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat setempat.
“Sebelum ini, mungkin ada jiran-jiran yang bermasam muka antara satu sama lain hanya kerana kenderaan mereka menghalang laluan keluar masuk rumah jiran. Jadi, dengan adanya undang-undang ini perkara itu dapat dihalang dan memang wajar dilaksanakan kerana banyak manfaat kepada semua pihak,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta.
Bagaimanapun, tindakan itu tidak dipersetujui segelintir penduduk yang berasakan undang-undang itu tidak wajar dilaksanakan dalam keadaan rakyat sedang dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup.
Menurut Hazuan Azahar, 31, tindakan itu tidak wajar dilaksanakan dan memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengkaji semula pelaksanaannya.
“Berilah muka sikit kepada rakyat, ada antara penduduk yang mempunyai dua atau tiga kenderaan kerana keperluan sementara ruangan parkir disediakan tidak mencukupi. Malah, laluan awam pula sempit,” jelasnya.
Minggu lalu, tular satu notis pemberitahuan MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah termasuk di luar pagar sehingga mendapat pelbagai reaksi penduduk Pasir Gudang, termasuk kepimpinan politik.-UTUSAN