JAKARTA: Kolej UNITI Port Dickson akan memperkenalkan program pengajian jangka pendek berkaitan halal kepada pelajar antarabangsa khususnya dari republik Indonesia bermula pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, program pengajian di bawah inisiatif Mobiliti/ Edutourism itu bukan sahaja akan membantu kerajaan meningkatkan jumlah kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia tetapi juga mengembangkan potensi halal dalam kalangan industri tempatan.
Katanya, program yang bakal dijenamakan sebagai Halal Edutourism itu akan memberi peluang kepada pelajar terlibat merasai pengalaman menuntut di kampus Kolej UNITI Port Dickson dan pada masa sama, mengetahui secara langsung ekosistem pensijilan halal yang dilaksanakan di Malaysia.
“Selain berkunjung ke lokasi pelancongan menarik, kami juga merancang membawa pelajar terbabit ke restoran-restoran halal popular dan menginap di hotel yang mempunyai pensijilan halal.
“Melalui pendekatan seperti ini, mereka akan melihat bagaimana dan sejauh mana sistem pensijilan halal di Malaysia dipraktikkan secara menyeluruh iaitu bukan sahaja melibatkan makanan dan minuman semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian reruai Kolej UNITI Port Dickson dan UNITI Halal Centre di Ekspo Halal Indonesia 2023 yang berlangsung Jakarta Convention Centre bermula 25 hingga 29 Oktober di sini, hari ini.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Atase Pendidikan, Education Malaysia (EM) Indonesia, Zulfadhli Hamzah.
Jelas Amir Hamzah, program Halal Edutourism tersebut akan dilaksanakan oleh pasukan Pusat Kecemerlangan Halal UNITI atau dikenali UNITI Halal Centre (UHAC) yang terdiri daripada pakar-pakar pensijilan halal negara.
“Kolej UNITI Port Dickson yang terletak di Tanjung Agas, Port Dickson, Negeri Sembilan merupakan IPT pertama di negara ini yang menawarkan program pengajian Diploma Pengurusan Industri Halal iaitu pada 2013, sebelum mana-mana IPT awam dan IPTS lain menawarkan program seumpama di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
“Kolej UNITI Port Dickson juga sejak tahun 2017 telah diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Penyedia Latihan Halal yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia. Melalui UHAC, kami aktif menawarkan kursus pensijilan profesional halal termasuk Halal Executive, Halal Internal Auditing dan Halal Competency,” katanya.
Amir Hamzah memberitahu, Kolej UNITI Port Dickson telah menerima banyak permintaan dalam kalangan pelajar antarabangsa terutama di rantau Asia Tenggara, China, Asia Timur dan Asia Tengah khususnya negara-negara yang penduduk majoriti umat Islam untuk mengikuti program-program jangka pendek berkaitan halal ditawarkan IPT ini.
“Buat permulaan, kami akan mempromosikan program Halal Edutourism ini kepada pelajar di Indonesia dengan menyasarkan segmen pelajar sekolah menengah dan mahasiswa yang sedang menuntut di IPT.
“Bagaimanapun, UHAC turut mempelawa pihak industri berkaitan di sini dan bersedia membawa usahawan-usahawan kecil dan sederhana di Indonesia yang berminat mengetahui mengenai pensijilan halal Malaysia dan rantaian industri halal di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Zulfadhli memberitahu, EM Indonesia mengalu-alukan inisiatif terbabit dan pihaknya bersedia membantu dan memudahcara untuk merealisiasikannya.
“Program Halal Edutourism tersebut sangat berpotensi ditawarkan di republik ini memandangkan sebelum ini, tiada pihak atau IPT termasuk IPTA dari Malaysia menawarkan program seumpamanya.
“Ia sangat menarik dan jika ditawarkan dengan kadar yuran yang berpatutan, ramai pelajar sekolah mahupun universiti di sini akan menyertainya sekali gus menarik minat mereka menyambung pengajian dalam bidang berkaitan halal di Malaysia kelak,” katanya.
Tambah Zulfadhli, Kolej UNITI Port Dickson juga boleh terus berperanan sebagai entiti penghubung antara usahawan-usahawan dan pihak berkepentingan halal dari kedua-dua buah negara.
“Kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Kolej UNITI Port Dickson melalui UHAC wajar digembleng dan saya percaya dengan kesungguhan yang ditunjukkan melalui penyertaan di Ekspo Halal Indonesia, IPT ini boleh berperanan lebih daripada sekadar sebuah institusi pendidikan tinggi,” katanya. – UTUSAN











