Kes NFCorp: Mohamad Salleh dan keluarga dibebas dari semua pertuduhan penyelewengan

Kes NFCorp: Mohamad Salleh dan keluarga dibebas dari semua pertuduhan penyelewengan

MOHAMAD Salleh Ismail (kanan) tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam bagi keputusan kes saman kerajaan terhadap 11 defendan berkaitan NFCorp. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dari National Feedlot Corporation (NFC), bersama-sama tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah dilepaskan dan dilepaskan daripada saman kerajaan membabitkan RM253.6 juta.

Ini kerana mahkamah mendapati Kerajaan Malaysia gagal membuktikan kes terhadap kesemua defendan.

Menurut peguam mewakili Mohamad Salleh, Datuk K. Kirubakaran dan Datuk Seri Rajan Navaratnam, mahkamah juga menyatakan bahawa tiada penyalahgunaan wang pinjaman dan tiada pelanggaran ‘fiduciary duties’ oleh defendan-defendan.

“Mahkamah membebaskan keluarga Mohamad Salleh dan defendan-defendan dari semua pertuduhan penyelewengan.

“Mahkamah Tinggi mendapati bahawa Kerajaan Malaysia melanggar Perjanjian Pelaksanaan apabila mereka gagal membina ‘Export Quality Abattoir’ dan melanggar Perjanjian Pinjaman apabila mereka membatalkan perjanjian tersebut secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut peguam itu, Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa tidak ada kesalahan undang-undang bagi para defendan menggunakan sebahagian daripada jumlah wang pinjaman untuk melabur dalam hartanah atas nama syarikat.

Jelasnya, NFCorp tidak melanggar Perjanjian Pinjaman dan Perjanjian Pelaksanaan dalam hal ini dan Mahkamah Tinggi memerintahkan agar aset pelaburan dipindahmilikkan kepada kerajaan.

“Selain itu, Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa matlamat projek tidak tercapai kerana Kerajaan Malaysia gagal membina ‘Export Quality Abattoir’.

“Namun kerana Mahkamah Tinggi mendapati bahawa matlamat projek tidak tercapai, hakim memutuskan bahawa jumlah pinjaman yang tidak digunakan sebanyak RM33 juta perlu dikembalikan oleh NFCorp kepada kerajaan,” katanya.

Mahkamah Tinggi turut membenarkan tuntutan balas (counterclaim) NFCorp dan membenarkan ganti rugi nominal.

Prosiding hari ini dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan manakala peguam Datuk K. Kirubakaran mewakili 11 defendan.

Dalam saman itu, plaintif menamakan NFCorp sebagai defendan pertama manakala Mohamad Salleh yang merupakan suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebagai defendan kedua.

Turut dinamakan sebagai defendan, tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Defendan lain ialah enam syarikat dikawal keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd., Real Food Corporation Sdn. Bhd., Meatworks Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., Asian Bioscience Corporation Sdn. Bhd. dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn. Bhd.

Perbicaraan itu bermula 2021, plaintif mengemukakan tujuh saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Pembendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir manakala defendan memanggil lima saksi termasuk Mohamad Salleh untuk memberi keterangan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFCorp pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta.

Sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi pusat fidlot di Gemas selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman itu disalurkan kerajaan kepada NFCorp dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Sebelum ini, dalam perbicaraan pada November tahun lalu, Mohamad Salleh memberitahu bahawa beliau dan syarikatnya mengalami kerugian dan bukan kerajaan akibat kegagalan projek di Gemas.

Mohamad Salleh, 75, berkata ini kerana wang NFCorp telah dirampas dan kerajaan menggantung projek tersebut.

Akibat kerugian itu telah menyebabkan pihaknya juga memfailkan tuntutan balas dengan menuntut ganti rugi RM86.25 juta daripada kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya