Kerajaan sedang memuktamadkan pertikaian tanah tujuh dekad

Kerajaan sedang memuktamadkan pertikaian tanah tujuh dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini dimaklumkan bahawa Kerajaan sedang memuktamadkan jumlah wang perlu dibayar kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. berhubung pencerobohan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Tanah tersebut meliputi Masjid Wilayah Persekutuan, Kompleks Kerajaan Jalan Duta yang turut menempatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Stadium Hoki Jalan Duta dan Institut Integriti Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng dan bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Azizul Azmi Adnan pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Turut serta pada prosiding tersebut ialah peguam-peguam, Datuk Dr. Cyrus Das dan Ira Biswar mewakili Semantan.

“Kami (Kerajaan) ingin memohon penangguhan selama tiga bulan kerana pihak Kerajaan dan Semantan kini dalam perbincangan untuk menyelesaikan (pertikaian). Jumlah (ganti rugi) ada cuma cara pembayaran masih belum ditentukan,” kata Shamsul yang turut memaklumkan surat daripada Semantan hanya diterima lewat petang semalam.

Shamsul turut memaklumkan, kata putus mengenai penyelesaian tersebut hanya boleh diperoleh selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Sementara itu, Cyrus mengesahkan terdapatnya perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian itu, namun, mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau arahan berhubung jumlah pampasan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Hakim Swee Seng kemudian membenarkan penangguhan selama tiga bulan, namun, memaklumkan ia merupakan penangguhan terakhir bagi kes itu.

“Kami ambil maklum pertikaian yang berlaku sekarang diwarisi daripada generasi terdahulu. Kes ini berlanjutan sejak tujuh dekad lalu, sebelum Merdeka lagi.

“Mahkamah tidak tahu status perbincangan berada di tahap mana tetapi terdapat tempoh masa yang mahkamah perlu patuhi dalam menyelesaikan sesuatu kes. Mahkamah tidak mahu menjadi batu penghalang terhadap penyelesaian yang akan dicapai,”kata hakim itu.

Semantan memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah tersebut untuk dibangunkan bagi penempatan diplomat dan duta.

Bagaimanapun, pada November 2012, Mahkamah Persekutuan mengekal keputusan mahkamah terdahulu yang memutuskan kerajaan menceroboh tanah tersebut apabila mengambil alih tanah tersebut melalui Enakmen Pengambilan Tanah.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN