Kerajaan perlu satukan dunia tangani konflik Palestin-Israel

Kerajaan perlu satukan dunia tangani konflik Palestin-Israel

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangkang menggesa kerajaan menggunakan semua saluran perundangan antarabangsa bagi menyatukan suara masyarakat dunia dalam melihat kezaliman sekali gus menangani konflik antara Palestin dan Israel. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, krisis terbaharu itu adalah rentetan panjang yang berpunca daripada kezaliman serta kejahatan rejim Zionis membunuh, merampas tanah, mengepung dan menindas umat Palestin yang tidak berdosa sejak sekian lama. 

Justeru, katanya, adalah menjadi hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri mereka daripada terus dizalimi dan Perikatan Nasional berdiri teguh serta sentiasa bersama-sama dengan perjuangan suci rakyat Palestin. 

“Namun, sebarang konflik bersenjata pasti menelan korban nyawa serta membawa kerosakan harta benda dan sehingga tengah hari ini sahaja, sudah lebih 230 nyawa penduduk Palestin yang tidak berdosa terbunuh manakala lebih 1,600 lagi cedera. 

“Dunia harus melihat kezaliman yang berlaku dan mesti menghentikan konflik ini dengan segera sebelum lebih ramai mereka yang tidak berdosa menjadi korban. 

“Kerajaan Malaysia perlu menggunakan semua saluran perundangan antarabangsa khususnya melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyatukan suara masyarakat dunia sebelum konflik ini bertukar menjadi krisis kemanusiaan yang lebih buruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Hamzah juga menggesa Kerajaan Malaysia untuk meneruskan ketegasan kerajaan-kerajaan Malaysia terdahulu, termasuk Perikatan Nasional (PN). 

“Iaitu Malaysia tidak akan menormalisasi hubungan dengan Israel. 

“Pada masa sama, marilah kita seluruh umat Islam terus berdoa kepada Allah SWT agar diberikan perlindungan dan keselamatan kepada seluruh rakyat Palestin,” katanya. 

Pergerakan Hamas sebelum ini melancarkan operasi baharu menentang penindasan dan kezaliman rejim Zionis dengan lebih 5,000 roket dibedil dari Genting Gaza ke wilayah Israel. 

Tentera Israel juga bertindak melancarkan serangan udara ke atas beberapa kedudukan Hamas di Genting Gaza sebagai respons terhadap tindakan Hamas. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN