PUTRAJAYA: Rayuan pihak pendakwaan berhubung keputusan melepas dan membebaskan bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan akan diputuskan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Sekiranya keputusan memihak kepada pendakwaan, Samirah dan dua remaja terbabit perlu kembali ke mahkamah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.
Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata demikian selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat.
“Terdapat banyak dokumen yang perlu diteliti, jadi, tarikh keputusan akan ditetapkan selepas kami bersedia. Tetapi ia (tarikh keputusan) tidak lama,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal.
Pada tarikh keputusan yang akan ditetapkan kemudian juga, panel tiga hakim itu akan membuat keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan oleh Samirah dan dua remaja terbabit yang masing-masing kini berusia 21 dan 18 tahun bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin ‘dilakukan dengan sengaja’.
Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam, melepaskan dan membebaskan Samirah dan dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin atas alasan antaranya pihak pendakwaan gagal prima facie kes dan gagal membuktikan bahawa Nazrin dibunuh di antara 11.30 malam 13 jun 2018 hingga 4 pagi 14 jun 2018.
Samirah dan dua remaja lelaki itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh Nazrin pada 4 Mac 2019 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Mac 2019.
Turut berdepan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dengan jenayah tersebut dan sepatutnya dituduh bersama, namun masih lagi bebas.
Perbicaraan bermula 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki dan Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng .
Terdahulu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam menggulung hujahnya menyatakan, penemuan percikan darah pada dinding di atas kepala katil adalah sesuatu yang pelik dan boleh dianggap `telah diletakkan’ di tempat tersebut.
“Daripada beberapa percikan, hanya tiga sahaja yang dikatakan mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) Nazrin yang mana dua daripadanya adalah diragui. Satu daripadanya mempunyai campuran DNA Nazrin dan individu yang tidak dikenali. DNA individu tidak dikenali itu tidak sepadan dengan kesemua tertuduh,”ujar Muhammad Shafee.
Tambahnya, berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah, adalah jelas kematian Nazrin adalah sesuatu yang tidak disengajakan dan bukannya satu pembunuhan.
Sehubungan itu, peguam terbabit memohon agar Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga anak guamnya dan mengubah dapatan Mahkamah Tinggi bahawa kematian Nazrin bukanlah disengajakan.-UTUSAN










