PETALING JAYA: Kerajaan mengambil pelbagai pendekatan bersifat jangka pendek dan panjang bagi menangani isu bankrap dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, langkah itu bertujuan membantu mereka yang terlibat keluar daripada lembah hutang serta membina semula produktiviti negara.
Katanya, program khas yang telah tersedia itu digerakkan oleh agensi di bawah kementeriannya iaitu Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) seperti menyediakan modul dan program khas berkaitan literasi kewangan khusus untuk belia.
Selain itu katanya, beberapa sesi libat urus diadakan bersama pihak-pihak berkepentingan iaitu Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) dan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi mendapatkan pandangan.
“Kerajaan mahu mengaplikasi pengetahuan kewangan seterusnya mewujudkan belia dengan tahap advokasi dan literasi kewangan yang tinggi agar dapat mengelakkan mereka terjebak dalam masalah muflis.
“Dari segi penyertaan pula, program ini secara komprehensif akan menyasarkan kumpulan belia iaitu belia berisiko; belia massa; belia pengajian tinggi; belia berkerjaya dan belia tahap keberhutangan tinggi,” katanya ketika dihubungi.
Pada 10 Oktober lalu, Hannah dilaporkan berkata, i-LEAD akan meneruskan siri jelajahnya menerusi Program Sekolah Rukun Negara iaitu kelas demokrasi yang diwujudkan dan kini disertai seramai 60,000 golongan belia.
Katanya, jumlah penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikhuatiri boleh meningkat jika jumlah 419 individu berumur 25 hingga 34 tahun yang diisytihar muflis tahun ini tidak dibantu.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperluaskan Dasar Peluang Kedua kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun hadapan.
Setakat Julai lalu, hampir 14,000 kes muflis dengan hutang kecil di bawah RM50,000 telah dilepaskan daripada kebankrapan.
Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [Akta A1695] berkuatkuasa sejak 6 Oktober lalu seiring Dasar Peluang Kedua yang menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap dalam tempoh setahun.
Akhbar ini kelmarin melaporkan, sebanyak 247,407 kes kebankrapan direkodkan sehingga September lalu di seluruh negara menyaksikan kadar muflis masih berada di tahap membimbangkan.
Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia mendedahkan, lima negeri dengan rekod kebankrapan tertinggi iaitu Selangor (61,578); Wilayah Persekutuan (43,987), Johor Bahru (28,093); Pulau Pinang (20,094) dan Perak (12,678) manakala Perlis menjadi negeri terendah kes bankrap sebanyak 659.
Punca kebankrapan tertinggi ialah pinjaman peribadi (36,508 orang/33.66 peratus), sewa beli kenderaan (20,194 orang/18.62 peratus), pinjaman perumahan (12,117 orang/11.7 peratus), pinjaman perniagaan (11,700 orang/10.79 peratus) dan hutang kad kredit (10,083 orang/9.30 peratus).
Rekod jabatan dipaparkan melalui Sistem Bank Data Belia Malaysia, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia bagi tahun 2015 hingga Ogos 2023 pula mendedahkan seramai 25,884 individu berumur 25 hingga 34 tahun (23.86 peratus) diisytihar bankrap, manakala 81,862 individu atau 75.47 peratus individu berumur 34 tahun dan ke atas bankrap. – UTUSAN










